ATM kerah 1,000 tentera siap sedia bantu bersihkan kawasan banjir

0

KOTA BAHARU: Kira-kira 1,000 anggota dari tiga batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diarahkan bersiap sedia untuk membantu membersihkan kawasan tumpuan awam yang dilanda banjir di Kelantan dan Terengganu selepas keadaan pulih sepenuhnya.

Panglima 8 Briged Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa di sini, Brig Jen Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata pihaknya telah pun mengarahkan pegawai pemerintah di kem terlibat untuk mengenal pasti kawasan terbabit untuk memulakan gerakan itu apabila keadaan banjir pulih sepenuhnya.

Beliau memberitahu Bernama di sini semalam bahawa jika perlu, gerakan itu akan dijalankan secara bersepadu dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kesihatan.

Katanya anggota tentera terlibat akan membantu membersihkan kawasan tumpuan awam seperti masjid, surau dan balai raya sebagai susulan kepada kerja membantu mangsa banjir di kedua-dua negeri berkenaan sebelum itu.

Turut dikerah dalam gerakan itu kelak, ialah anggota yang terlibat dalam ‘Ops Merpati’ dan ‘Ops Wawasan’ bagi membantu mangsa banjir di Rantau Panjang dan Tumpat di sempadan Sungai Golok, Kelantan, antara kawasan yang teruk dilanda banjir, katanya.

“Selain itu, kita juga menempatkan anggota Rejimen 18 Melayu di kawasan yang teruk dilanda banjir di Kemaman, Dungun dan Ulu Terengganu, selain di daerah Besut (Terengganu),” katanya.

Sementara itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang bekerjasama dengan ATM membekalkan air bersih kepada mangsa banjir di daerah Kemaman dan Dungun yang terputus bekalan air akibat banjir beberapa hari lepas.

Katanya pihak ATM tidak menghadapi masalah dalam melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa banjir sepanjang musim tengkujuh ini dari segi logistik.

“Kita menggunakan trak besar seberat tujuh tan metrik untuk mengangkut dan memindahkan mangsa banjir selain kemudahan bot yang sedia ada bagi melicinkan gerakan menyelamat bersama agensi lain,” katanya. — Bernama