Pahang sedia peruntukan khas beli pakaian untuk mangsa banjir

0

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan khas bagi menanggung pembelian pakaian kepada mangsa banjir di daerah Kuantan, kata Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Beliau berkata ini merupakan inisiatif kerajaan dengan meluluskan peruntukan khas bagi membeli pakaian kepada mangsa banjir di daerah Kuantan itu yang tidak sempat berbuat apa-apa kerana bencana banjir baru-baru ini berlaku begitu pantas.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan jumlah peruntukan yang disediakan untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, katanya kerajaan Pahang juga mengemukakan permohonan kepada kerajaan persekutuan bagi mendapatkan bantuan sebanyak RM35 juta untuk memperbaiki kerosakan dan perparitan akibat banjir di daerah Kuantan.

Muhammad Safian berkata peruntukan itu melibatkan kos RM10 juta untuk memperbaiki jalan yang rosak, RM5 juta untuk memperbaiki sistem perparitan dan RM15 juta untuk membina serta memperbesar saluran perparitan baharu.

Selain itu, katanya RM5 juta lagi diperlukan untuk pemindahan penduduk yang tinggal di pinggir sungai yang dilanda banjir amat teruk.

“Permohonan bantuan itu telah dihantar kepada kerajaan pusat semalam,” katanya.

Katanya daerah lain seperti Pekan dan Rompin tidak melibatkan kerosakan yang besar dan kerja membaiki kerosakan yang berlaku dapat ditangani kerajaan negeri.

Sementara itu, Muhammad Safian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Pahang mengakui kurang berpuas hati pada peringkat awal bentuk bantuan yang disalurkan kepada mangsa banjir.

“Kita tidak salahkan sesiapa kerana kejadian banjir di Kuantan berlaku dengan pantas, dan usaha telah dibuat bagi menangani perkara itu,” katanya. — Bernama