KMPP desak Lim tarik balik kenyataan berhubung kalimah Allah

0

GEORGE TOWN: Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) semalam mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menarik balik kenyataannya yang membangkitkan semula isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu dan seterusnya memohon maaf kepada semua umat Islam di negara ini.

Presiden KMPP Rahmad Isahak mendakwa kenyataan yang berunsur psikologi secara senyap itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam selain turut menimbulkan rasa kurang senang masyarakat bukan Islam yang cintakan keharmonian beragama di negara ini.

“Jangan mempersendakan kalimah Allah dengan tujuan meraih simpati di atas landasan politik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Rahmad menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP itu sebagai mencabuli perkara yang telah termaktub dalam peraturan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Di peringkat kerajaan negeri, umum telah sedia maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri telah memuktamadkan 40 perkataan yang tidak boleh digunakan oleh agama lain termasuk kalimah Allah, semasa kerajaan pakatan rakyat berkuasa serta telah dipersetujui oleh ketua menteri sendiri. Jadi kenapa perkara yang telah dipersetujui itu dicabuli?,” katanya. — Bernama