Sunday, July 21

Air sisa buangan kilang minyak sawit dapat dijadikan biofuel

0

KUCHING: Pasukan penyelidik daripada Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya mem-buktikan biofuel dapat dihasilkan daripada air sisa buangan kilang pemprosesan minyak kelapa sawit.

Salah seorang penyelidik yang terlibat dalam penyeli-dikan itu ialah Profesor Madya Dr Zainab Ngaini.

Pensyarah Kanan FSTS yang juga Setiausaha Kehormat Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Sarawak itu juga berkata penyelidikan dilakukan kerana menyedari bahawa menghasilkan bahan api daripada bahan makanan iaitu buah kelapa sawit adalah se-suatu yang kurang beretika.

“Kami pada mulanya menjumpai air atau sisa buangan di dalam kolam sisa buangan loji pemprosesan buah kelapa sawit. Ini dikenali sebagai bahan buangan semasa memproses minyak kelapa sawit.

“Sisa ini memang sangat berbau, saya tukarkan menjadi biofuel yang dapat meng- gerakkan jentera termasuk kereta.

“Selalunya biofuel yang digunakan untuk menggerakkan kereta terdiri daripada 15 pe-ratus kandungan biofuel,” jelasnya ketika ditemui Utusan Borneo baru-baru ini.

Menurut Dr Zainab, biofuel yang dihasilkannya dengan kandungan 15 peratus biofuel lebih murah iaitu hanya RM1 seliter berbanding harga petrol yang dijual di stesen-stesen minyak.

Menjelas lanjut mengenai proses menghasilkan biofuel daripada sisa buangan loji pemprosesan minyak kelapa sawit, beliau berkata proses tindakan balas kimia akan dilakukan menggunakan sebuah mesin pejana kuasa khas.

Air sisa buangan itu katanya akan dicampur dengan alkohol dan ditambah dengan bahan pemangkin yang dihasil-kan sendiri berasaskan bahan bio iaitu sejenis pokok yang dijadikan dalam bentuk ser-pihan-serpihan kecil.

“Ini adalah hasil berharga daripada bahan buangan sekunder daripada sektor perladangan kelapa sawit selepas biomas, sebab lemak-lemak yang terhasil dan tidak digunakan untuk menghasilkan minyak kelapa sawit seperti dipasarkan dibuang ke dalam kolam.

“Semasa proses menghasilkan minyak mentah kelapa sawit, sisa buangan yang bercampur air akan dimasukkan ke dalam kolam khas di luar kilang, kolam ini berperanan sebagai tempat menakung air sisa kilang.

“Ini biomas juga tetapi bukan daripada tandan kosong buah kelapa sawit (EFB),” jelasnya.

Sementara itu katanya UNI-MAS sedia menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang berminat untuk menghasilkan biomas dan bio-fuel daripada EFB juga sisa buangan loji pemprosesan minyak kelapa sawit.

Beliau menambah, kerjasama antara institusi dan industri amat perlu supaya penemuan para penyelidik dapat diperkembangkan seterusnya dikomersialkan.

“Kadang-kadang industri mencari institusi yang dapat membuat penyelidikan dan ka-jian untuk mereka manakala institusi seperti UNIMAS perlukan industri bagi menye- diakan bahan atau jentera berskala lebih besar kerana la-zimnya penyelidikan dilakukan pada saiz makmal.

“Misalnya di UNIMAS ba-nyak dilakukan penyelidikan terutama melibatkan pengkomposan, yang melibatkan kuantiti EFB yang cukup ba-nyak. Oleh itu perlu ada kerjasama sinergi antara industri dengan institusi,” katanya.

Menurutnya banyak idea penyelidik di UNIMAS boleh diketengahkan dan praktikal untuk dikembangkan di peringkat industri terutama melibatkan sektor perladang-an kelapa sawit.

“Penyelidik hanya menge-luarkan idea manakala cara mengkomersialkannya dilakukan oleh pihak industri.

“Di Bintulu misalnya, ada syarikat menyediakan EFB (tandan kosong buah kelapa sawit), kami pula ada idea untuk menambah nilainya.

“Saya rasa kerja-kerja di peringkat makmal perlu di-komersialkan dengan syarat ada syarikat yang sudi menjalinkan kerjasama pintar.

“Banyak yang boleh dihasilkan daripada biomas, kalau dulu biomas adalah sisa bua-ngan tetapi sekarang ia adalah sumber ekonomi,” ujarnya.

Di Borneo katanya, untuk melakukan kerja-kerja pengkomposan agak sukar kalau dibandingkan dengan di Semenanjung Malaysia kerana banyak syarikat perladangan tidak mempunyai kepakaran serta loji sendiri melainkan mereka bekerjasama dengan UNIMAS.

Menerusi kerjasama itu katanya, UNIMAS boleh memperkenalkan bakteria-bakteria yang bagus untuk digunakan dalam proses pengkomposan kerana institusi pengajian tinggi itu mempunyai kepakaran diiktiraf.

Menurutnya sebelum ini proses pengkomposan dilakukan selama enam bulan tetapi dengan penemuan baharu pa-sukan penyelidikan UNIMAS, proses itu dapat dilakukan hanya dalam tempoh dua minggu.