NGO, badan kebajikan sedia pindah jika kawasan mereka dibangunkan

0

KUCHING: Kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan di Jalan Ong Tiang Swee dan Jalan Maxwell di sini bersiap sedia untuk berpindah sekiranya kawasan berkenaan dibangunkan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata malah ada antara pertubuhan dan badan kebajikan berkenaan telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri bagi membina premis tetap mereka di tempat yang mereka pilih.

“Untuk pengetahuan, NGO dan badan kebajikan yang berada di kawasan berkenaan sebelum ini memohon menggunakan premis iaitu rumah kerajaan yang kosong jadi mereka diberi kelulusan sementara selama tiga tahun.

“Jadi kebanyakan daripada NGO ini telah bersiap sedia untuk berpindah kerana mereka telah dimaklumkan awal bahawa mereka hanya (menumpang) sementara sahaja dan ada antara permohonan tanah mereka telah diluluskan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pe-nyampaian peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) kawasan Kuching kepada tiga NGO di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Fatimah memberitahu, terdapat juga NGO berkena-an kini dalam usaha untuk mendapatkan dana bagi membolehkan mereka membina premis baharu di atas tanah yang dipilih.

Bagaimanapun kata beliau, mengenai perancangan pembangunan kawasan berkenaan ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian beliau sebaliknya dikendalikan Unit Perancangan Negeri (SPU) dan kontraktor yang terlibat.

“Bagi kami apa yang pen-ting agar NGO dan badan ini mampu mengendalikan aktiviti mereka.

“Maka itu program kebajikan seperti ‘Walk of Love’ tahun lepas amat penting untuk mereka mengutip dana bagi membolehkan pertubuhan menjalankan aktiviti serta membina premis supaya dapat beroperasi secara kekal,” tegas beliau.

Fatimah yang juga penasihat Persatuan Disleksia Sarawak memberitahu, persatuan itu merupakan antara yang telah membuat permohonan tanah kepada kerajaan negeri.