SYABAS jangka bekalan air dipulihkan sepenuhnya dalam seminggu

0

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjangka bekalan air yang terjejas kepada lebih setengah juta penduduk di 90 kawasan sekitar ibu negara dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS Datuk Ruslan Hassan berkata kerosakan di dua rumah pam iaitu di Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya semalam tetapi proses penyaluran air ke kawasan terlibat mengambil masa seminggu.

“Proses penyaluran air ke kawasan-kawasan yang terlibat selepas kerja pembaikan dilakukan akan meng-ambil masa paling cepat seminggu…tempoh masa diperlukan untuk mengisi semula paip-paip dan kolam-kolam yang kosong,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Ruslan berkata pihaknya menyediakan 40 lori tangki milik SYABAS selain lori sewa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak swasta untuk menghantar air kepada penduduk. — Bernama