Tol Jambatan Lanang membebankan

0

Pengguna masih berharap agar kerajaan memansuhkan atau mengurangkan kadar tol

SIBU: Pengguna khususnya pemilik kenderaan masih berharap agar kerajaan dapat memansuhkan atau mengurangkan kadar tol di Jambatan Lanang bagi meringankan beban semua pihak.

Menurut seorang pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, ia merupakan satu penantian yang lama oleh semua penduduk yang menunggu agar tol tersebut dikurangkan atau dimansuhkan.

“Meskipun kami sebelum ini pernah diberitahu yang tol akan dimansuhkan atau dikurangkan, namun sehingga kini kami masih membayar kadar tol yang sama,” ujarnya.

Wong memberitahu, pengguna terutama pemilik kenderaan yang menggunkan tol terpaksa membelanjakan kira-kira RM300 sebulan bagi bayaran tol.

Jumlah tersebut katanya, cukup bagi membeli barangan makanan dan keperluan ha-rian sesebuah keluarga untuk sebulan.

Jambatan Lanang sepanjang 1.2 kilometer, merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak dan siap dibina pada 11 April, 2006 oleh sebuah syarikat swasta.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor pada tahun 2011 pernah memberitahu bahawa kerajaan tidak mempunyai masalah untuk mengambil alih jambatan tersebut.

Pengumuman itu sekali gus memberi harapan kepada orang ramai yang tol di jambatan tersebut akan dimansuhkan, namun sehingga kini pengguna masih dikenakan bayaran.

Kadar tol yang dikenakan ialah 50 sen bagi motosikal, kereta (RM3), kenderaan pacuan empat roda (RM5) dan lori (RM10).

Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong Yap Hoi Liong ketika dihubungi memberitahu ada menerima pelbagai aduan daripada penduduk dan juga persatuan berhubung kadar tol ter-babit.

Menurut Yap, beliau pernah membangkitkan isu tol terbabit di persidangan Dewan Undangan Negeri, namun tiada penyelesaian dibuat oleh kerajaan.

“Saya akan membangkit-kan isu tol ini ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang dengan harapan kerajaan akan mempertimbangkan semula kadar tol ini,” tambahnya.