Bekalan ikan berkurangan bimbangkan orang ramai

0

HABIS DIJUAL: Salmiah (kanan) bersama dua rakan niaga Khadijah dan Ahmad Hashim (tiga, kanan) menunjukkan ikan kembung yang telah habis dijual ketika tinjauan Bernama di Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

Harga turut melambung dan membebankan pengguna

ALOR SETAR: Cuaca yang tidak menentu di Kedah sejak lima hari lepas menyebabkan bekalan ikan terutamanya ikan kembung berkurangan sehingga menimbulkan kebimbangan kepada orang ramai.

Ishak Osman, 60, berkata selain bekalan berkurangan, harga ikan turut melambung tinggi iaitu dari RM3 hingga RM4 sekilogram kepada RM6 hingga RM7 sekali gus membebankan orang ramai.

Katanya, ada juga sesetengah peniaga di tempat lain terpaksa menjual ikan kembung pada harga RM10 sekilogram menyebabkan pelanggan beralih kepada makanan lain.

Ishak yang menjadi pelanggan tetap di Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah berkata dia terpaksa berebut untuk mendapatkan sekilogram ikan kembung yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

“Kalau habis terpaksa tunggu nelayan balik dari laut baru boleh beli,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah dekat sini semalam.

Tinjauan Bernama di pasar itu mendapati hasil tangkapan nelayan kurang menyebabkan bekalan ikan terputus dan orang ramai terpaksa menunggu serta berebut-rebut untuk mendapatkan ikan kembung. Pelbagai jenis ikan lain juga turut berkurangan.

Seorang nelayan Mohammad Mohd Azhar, 53, berkata dia dan nelayan pantai lain terpaksa ke laut dalam untuk menangkap ikan memandangkan ikan kembung dan ikan lain di pesisir pantai semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini.

Dia berkata keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan ada nelayan tidak ke laut selain terpaksa menanggung kerugian kerana tidak memperoleh hasil tangkapan ikan seperti sebelum ini.

“Sekali turun ke laut terpaksa guna minyak lebih RM60 sebab kena pergi ke laut dalam. Kami terpaksa letak harga ikan tinggilah sebab kos bahan api kami guna meningkat daripada sebelumnya iaitu RM30,” katanya.

Dia berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan lanjut untuk menangani masalah kekurangan bekalan pelbagai jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi daripada pengguna. — Bernama