Mangsa banjir tipu status bakal berdepan SPRM

0

Setiap mangsa wajib buat surat perakuan untuk wang ihsan

KUALA TERENGGANU: Mana-mana mangsa banjir yang menipu mengenai status mereka untuk mendapatkan bantuan RM500 wang ihsan banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) bakal berhadapan dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Penolong Setiausaha MKN Terengganu Mohd Sarif Hassan berkata, setiap mangsa banjir diwajib membuat surat perakuan melalui borang SPRM dan mereka yang didapati menipu akan disoal siasat badan itu.

Beliau berkata, MKN kini dalam peringkat awal proses penyaluran wang ihsan itu dan setakat ini pihaknya tidak mengesan sebarang penipuan.

“Oleh kerana kita nak mengelakkan mereka ini menerima wang secara tidak jujur, kami perlu buat semakan yang terperinci (me-ngenai mangsa banjir) dan ini akan mengambil sedikit masa.

“Jika ada penipuan, kami akan terus rujuk kepada SPRM,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Majlis Gotong-royong Persatuan Pandu Puteri Malaysia di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak di sini, semalam.

Mohd Sarif berkata kriteria mangsa banjir yang mengambil kesempatan ialah mereka yang tidak terlibat dengan banjir tetapi mendaftarkan diri di pusat pemindahan serta tidak tinggal di pusat-pusat pemindahan yang diwartakan.

Pada majlis itu Rosmah turut meluangkan masa membantu membersihkan rumah seorang mangsa banjir.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia menyampaikan cek RM5,000 sumbangan Pandu Puteri Malaysia kepada perumahan kawasan berkenaan dan menyampaikan bantuan wang ihsan MKN kepada 77 penerima.

Hampir 500 orang daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Skuad Sayang UMNO, Pandu Puteri Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Penyelamat, Belia Daerah dan Pemuda UMNO bersama-sama bergotong-royong pada majlis itu. — Bernama