Polis SPS akan perluas program Blue & Green

0

NIBONG TEBAL: Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) akan memperluaskan Program ‘Omnipresence’ atau ‘Blue & Green’ di sekolah menengah di daerah itu susulan kejayaan mengurangkan kadar jenayah di luar kawasan sekolah.

Ketua Polis SPS Supt Shafien Mamat berkata sejak diperkenalkan enam bulan lepas, empat sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman, SK Sheikh Barakbah, SMK Valdor dan SMK Simpang Ampat mencatatkan sifar jenayah.

“Menerusi program itu, anggota polis akan ditempatkan di luar sekolah untuk membuat pemantauan pada waktu puncak iaitu waktu pagi, tengah hari dan petang bagi sekolah yang ada dua sesi,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan risalah keselamatan kepada murid Sekolah Kebangsaan Jawi, di sini semalam.

Shafien berkata, antara jenayah yang sering berlaku di luar kawasan sekolah ialah pergaduhan, ugutan, dan kacau ganggu.

“Sekolah yang kita pilih itu bukan kerana pelajar-pelajarnya bermasalah sebaliknya kerap berlaku jenayah di luar sekolah mereka. Ia kebanyakan dilakukan oleh orang luar,” katanya.

Sementara itu, Shafien berkata pasukannya menerima 13 buah motosikal bagi Unit Rondaan Bermotosikal untuk menjalankan rondaan di sekitar daerah tersebut.

“Fokus kita adalah sekitar Taman Jawi di sini kerana kawasan itu merupakan tumpuan orang ramai. Pasukan itu akan membuat rondaan 24 jam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata pihaknya sedang menunggu laporan Jabatan Kimia bagi melengkapkan kes kemalangan membabitkan sebuah bas kilang di Km 150.3 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bukit Tambun baru-baru ini.

“Kita telah serahkan laporan itu kepada pihak pendakwa raya tapi mereka pulangkan kerana perlu lengkapkan dan dapatkan beberapa perkara termasuk daripada Jabatan Kimia,” katanya.

Katanya pemandu bas berkenaan juga telah pulih dan telah keluar daripada Hospital Seberang Jaya kelmarin.

Dalam kemalangan jam 6.30 pagi itu, sebuah bas kilang membawa 18 pekerja Canon Electronics (M) Sdn Bhd di Perai terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Satria yang mengakibatkan dua penumpang bas berkenaan terkorban.

Dua pekerja turut parah sementara 15 lagi termasuk pemandu bas, KamaruddinDerais, 50, cedera. — Bernama