Swasta dan GLC disaran menyumbang kepada PIBG

0

Bantu kurangkan belanja kerajaan dan bebanan ibu bapa

KUALA LUMPUR: Syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran membiayai program sekolah dan menyumbang kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan bebanan ibu bapa pelajar.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata ia juga merupakan tanggungjawab sosial korporat sektor swasta dan GLC dalam usaha membantu memperkasakan pendidikan negara.

“Jalinan kerjasama di antara pihak swasta, GLC dan sekolah akan membantu memperkasakan lagi pendidikan negara pada masa depan menerusi kemudahan sekolah yang baik dan lengkap tetapi bantuan kewangan itu harus diberi kepada sekolah yang sangat memerlukannya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai isu yuran PIBG yang tidak sama di sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara hingga menimbulkan rungutan ibu bapa apabila sesi persekolahan bermula setiap tahun.

Menurutnya pihak sekolah dan ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan bantuan kewangan kerajaan sepanjang masa dan ia perlu bekerjasama mencari kaedah terbaik untuk mengumpul dana PIBG.

“Pihak sekolah tidak boleh memaksa ibu bapa membayar yuran PIBG, ia adalah sumbangan ikhlas tetapi para ibu bapa dinasihati menghadiri mesyuarat PIBG yang diadakan pada setiap tahun dan memberi maklum balas, meluahkan idea atau masalah berkaitan yuran PIBG tersebut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan menyambut baik cadangan agar syarikat swasta dan GLC menyumbang kepada tabung PIBG kerana wang itu akan digunakan untuk membaiki atau menambah baik kemudahan sekolah.

“Antara sebab yuran PIBG ini menjadi isu dalam kalangan ibu bapa kerana ia tidak dibangkitkan pada mesyuarat PIBG yang diadakan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata walaupun yuran PIBG adalah sumbangan secara sukarela oleh ibu bapa, tetapi mereka digalakkan membayarnya demi kepentingan semua pelajar sekolah.

“Sekiranya ibu bapa masih tidak berpuas hati dengan keputusan pada mesyuarat PIBG tersebut mereka boleh kemukakan aduan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk tindakan selanjutnya,” kata Hashim.

Ditanya adakah wajar yuran PIBG diseragamkan di seluruh negara, beliau berkata ia tidak boleh dilakukan kerana semuanya bergantung kepada keperluan sesebuah sekolah.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak sekolah memberi pengecualian pembayaran yuran PIBG kepada pelajar sekolah keluarga miskin dan juga membantu pelajar sekolah tersebut dalam bentuk kewangan atau makanan bergantung kepada keperluan keluarga itu. — Bernama