Penghantaran CD, VCD haram melalui syarikat kurier digagalkan

0

BERJAYA DIRAMPAS: Abdul Rosik mengadakan sidang akhbar mengenai rampasan cakera padat cetak rompak yang dirampas dari dua tempat penghantaran barangan berkenaan di George Town, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Penghantaran cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) haram menggunakan perkhidmatan syarikat kurier digagalkan apabila rampasan dibuat oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang di sini semalam.

Sebanyak 9,300 keping CD dan VCD cetak rompak bernilai RM46,000 dirampas di tempat penghantaran barangan di Jelutong dan Seberang Perai pada jam 7 pagi semalam, kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Abdul Rosik Yakub.

Sepasukan enam orang pegawai dari pejabat KPDNKK Pulau Pinang telah menyerbu dua tempat penghantaran barangan itu dan merampas pelbagai CD dan VCD haram yang dipercayai baru sampai dari Lembah Klang untuk edaran di sekitar Pulau Pinang.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Abdul Rosik berkata alamat pengirim dan penghantar kurang jelas dan hanya menemui beberapa kod pada dokumen bungkusan yang dipercayai hanya difahami antara kedua-dua pengirim dan penerima.

CD dan VCD haram yang dirampas itu terdiri dari lagu Tahun Baharu Cina, filem Inggeris terbaharu di pasaran serta dua filem Inggeris yang didakwa belum lagi ditayangkan di pawagam Malaysia.

“Tiada tangkapan dibuat namun siasatan lanjut akan dibuat terhadap dokumen yang dijumpai bersama bungkusan tersebut. Laporan polis telah dibuat terhadap rampasan berkenaan,” kata Abdul Rosik kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, rampasan itu merupakan hasil pemerhatian pegawai KPDNKK Pulau Pinang selama seminggu terhadap aktiviti penghantaran CD dan VCD cetak rompak berkenaan.

Kes ini disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 untuk setiap keping atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. — Bernama