Tuesday, August 4

Kalimah Allah tidak boleh diterjemah kepada Tuhan: Hadi

0

MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata tiada percanggahan antara pemimpin PAS berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible seperti yang dilaporkan.

Beliau berkata, kalimah Allah tidak boleh diterjemah kepada tuhan kerana pengertian tuhan itu terlalu umum.

“Untuk orang Islam kita terjemah Allah dalam bahasa Melayu, Allah juga, orang Pakistan (yang) guna bahasa Urdu, Allah juga, (dan) orang putih (Inggeris yang) masuk Islam, (adakah) dia terjemah God atau Lord?…tak, Allah juga. Perkataan Allah diterjemah (kepada) bahasa lain tak boleh, bagaimana (pula) perkataan God (hendak) diterjemah kepada Allah.

“Perkataan tuhan tak boleh terjemah kepada Allah. Sebab itu Allah juga (digunakan) dalam bahasa Urdu, Parsi, Inggeris. Bagi orang Islam, God kita terjemah tuhan. Tuhan itu suatu yang umum…tapi Allah dia khusus, tapi orang kafir guna juga Allah pada zaman nabi dulu,” katanya semasa melancarkan buku ‘Amanat Haji Hadi-Antara Fitnah dan Fakta’ yang dicetak semula, di Masjid Rusila di sini semalam.

Ditanya sama ada pakatan pembangkang akan mempertahan penggunaan kalimah Allah dalam Bible seandainya memerintah negara, Abdul Hadi berkata “nanti kita memerintah dulu, tak memerintah lagi tak boleh sebut.”

Sementara itu Abdul Hadi berkata, beliau tidak akan berganjak daripada terus mempertahan amanatnya pada 1981 dan berazam untuk memberikan penjelasan kepada umat Islam dengan menerbitkan semula buku itu yang pernah dicetak pada tahun 2002.

Kandungannya tidak diubah kecuali sedikit pembetulan ejaan sebagaimana yang pernah dikehendaki Jabatan Perdana Menteri sekitar awal tahun 80-an, katanya kepada pemberita mengenai buku setebal 74 muka surat itu yang dijual dengan harga RM10 senaskhah. — Bernama