SAVA rancang rekodkan kemajuan dalam bidang pertanian

0

LOGO RASMI: Ose (dua kiri) melancarkan logo rasmi SAVA sambil disaksikan oleh Johnny (dua kanan) serta lain-lain pada majlis di Kuching malam kelmarin.

KUCHING: Persatuan Bekas Pegawai Pertanian Sarawak (SAVA) merancang merekodkan kemajuan yang telah dicapai dalam bidang pertanian di negeri ini sejak awal pembangunan kira-kira 86 tahun lalu.

Menurut Presidennya Johnny Chien Pik Ung, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha persatuan untuk berkongsi kejayaan yang telah dilakar dalam bidang pertanian sebagai rujukan berguna generasi akan datang.

“Meskipun telah menjadi veteran untuk Jabatan Pertanian namun kami masih lagi bersemangat untuk melakukan yang terbaik kepada generasi akan datang.

“Pengalaman berharga yang telah kami lalui sepanjang tahun dalam bidang pertanian merupakan sesuatu yang boleh menyuntik semangat generasi akan datang.

“Saya telah memikirkan agak lama mengapa tidak membuat rekod seperti ‘Legasi Kemajuan Pertanian di Sarawak’.

“Ini adalah sesuatu yang boleh kita tawarkan dan capai sekarang.

“Justeru saya berharap pakar-pakar dalam bidang ini akan menyumbang kepada projek SAVA ini kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam SAVA di Sarawak Club di sini, malam kelmarin (Khamis).

Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang merangkap Menteri Pemodenan Pertanian.

Sementara itu Ose dalam ucapannya menyokong penuh rancangan SAVA untuk merekodkan kemajuan yang telah dicapai dalam bidang pertanian di negeri dalam bentuk buku.

Beliau yang menyifatkan rancangan tersebut sebagai satu usaha bijak mencadangkan supaya SAVA mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Pemodenan Pertanian bagi menyusulkan projek berkenaan.

“Menjadi veteran tidak bermaksud bersara daripada semua kepakaran. Selepas bersara kita akan memainkan peranan yang berbeza.

“Justeru saya menyokong penuh rancangan SAVA untuk menerbitkan buku mengenai ‘Legasi Kemajuan Pertanian di Sarawak’ sejajar dengan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Sarawak Merdeka,” katanya.

Dalam pada itu Ose bagi pihak Jabu turut mengumumkan peruntukan bantuan berjumlah RM10,000 kepada SAVA bagi membantu persatuan melaksanakan program serta aktiviti di kalangan ahli.

Persatuan dalam pada itu baharu didaftarkan pada Jun 2011 dan antara objektif utama penubuhan adalah untuk merapatkan hubungan antara bekas-bekas pegawai pertanian, menganjurkan aktiviti sihat seperti jamuan tahunan di Kuching dan tempat-tempat lain selain menjalankan beberapa projek berkaitan pertanian.

Pada majlis itu, Ose turut melancarkan logo rasmi SAVA. Turut hadir, pengerusi jawatankuasa pengelola majlis Lim Chin Pang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcolm Mussen Lamoh.