Sunday, August 9

Umat Islam berdepan cabaran akidah: TPM

0

KHUSYUK: Muhyiddin (tengah) bersama jemaah masjid mendengar khutbah Jumaat ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Makmur dalam rangka lawatan kerja selama dua hari di Pahang di Kuantan, semalam. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. — Gambar Bernama

KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata umat Islam hari ini berdepan dengan cabaran yang menyentuh akidah dan soal kedudukan umat Islam disebabkan isu-isu yang dikaitkan dengan agama Islam.

Katanya, walaupun umat Islam di negara ini boleh dikatakan antara masyarakat Islam yang berjaya di dunia, namun mereka perlu berdepan dengan situasi di mana terdapat pihak yang cuba menyentuh isu sensitif berkaitan agama Islam.

“Cabaran yang dihadapi umat Islam di Malaysia amat besar sekali walaupun kepimpinan negara sentiasa mendukung perjuangan untuk memartabat Islam, tapi kita sedar dalam masyarakat kita, ada pelbagai kumpulan, kepimpinan dan badan pertubuhan politik sehingga boleh mempolitikkan agama,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Makmur Batu 10 di sini, semalam.

Beliau bimbang keadaan itu meletakkan umat Islam dalam keadaan yang agak bercelaru dan sehubungan itu peranan para ulama dalam masyarakat perlu digembleng untuk membantu menjelaskan situasi dan keadaan itu kepada semua umat Islam.

“Sebenarnya mungkin ramai umat Islam akan terkeliru ini adalah satu ancaman amat besar yang kita hadapi pada hari ini, namun begitu usaha penjelasan akan terus dilakukan kerana persoalan itu menyentuh akidah umat Islam,” katanya.

Muhyiddin berkata sekalipun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di mana setiap rakyat bebas untuk  mengemukakan pandangan dan pendapat, tapi ia tidak bermakna individu itu boleh menimbulkan sesuatu isu yang boleh menyebabkan umat Islam  berpecah-belah dan keliru.

“Sama ada isu itu berkaitan soal politik atau agama, ia harus kita elakkan dan jangan kita cuba menimbulkan sebarang masalah hanya disebabkan perbezaan politik dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menyeru setiap umat Islam supaya memainkan peranan masing-masing dan terus bersatu dalam memastikan maruah dan martabat umat Islam sentiasa terpelihara.

“Walaupun umat Islam berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran, namun kita masih berupaya untuk membina kekuatan diri dan negara.

“Sebab itu kita perlu bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan kepada kita di Malaysia yang membolehkan kita hidup tenteram dan sejahtera,” katanya. — Bernama