Masyarakat Cina perlu pelajari kebudayaan sendiri

0

Menguasai akademik, dalami budaya sendiri adalah sebahagian cabang kebudayaan Cina, kata Lee

MIRI: Masyarakat Cina khususnya golongan muda diharapkan bukan hanya menguasai bidang akademik tetapi turut mempelajari kebudayaan masyarakat sendiri.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin memberitahu, menguasai bidang akademik dan mendalami budaya masyarakat sendiri adalah sebahagian cabang kebudayaan Cina yang perlu dipelihara.

“Kita bukan hanya digalakkan memajukan diri dalam bidang akademik tetapi pada masa sama memelihara serta memperkembangkan kebudayaan masyarakat sendiri.

“Ini turut merupakan sebahagian daripada cabang dalam kebudayaan kita (Cina).

“Oleh sebab itu, gunakan juga penguasaan akademik dalam usaha membangunkan kebudayaan masyarakat agar terpelihara dan terus dipraktikkan untuk generasi akan datang,” katanya pada Majlis Pelantikan Lembaga Pengarah Sekolah Menengah (SM) Pei Min kali Ke-19 di sini semalam.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, Lee mahu pelantikan baharu lembaga pengarah sekolah tersebut meneruskan perjuangan dalam membangunkan kejayaan sekolah terbabit.

“Pelbagai kejayaan serta pembangunan sekolah ini merupakan hasil pengorbanan daripada lembaga pengarah sekolah sejak 1962 lagi.

“Oleh itu adalah sangat penting bagi pihak lembaga pengurusan yang baharu meneruskan perjuangan tersebut dalam menggerakkan sekolah ke puncak yang cemerlang,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Kehormat SM Pei Min Miri Tan Sri Jimmy Lau dan Hii King Chiong.