Permintaan terhadap rumah selari kestabilan ekonomi

0

KUCHING: Permintaan terhadap rumah kian meningkat pada masa kini selari dengan keadaan ekonomi negara yang stabil dan berkembang pesat.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Sim Kiang Chiok, pihak kerajaan telah memudahkan rakyatnya untuk memiliki rumah dengan bantuan-bantuan termasuk menyediakan pinjaman 100 peratus kepada pembeli rumah pertama bagi isi rumah yang berpendapatan RM10,000 sebulan ke atas, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta kadar pinjaman berdasarkan pendapatan bersih bagi mengelak spekulasi terhadap harga-harga rumah.

Beliau juga memberitahu bahawa dakwaan Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen adalah kurang tepat kerana terdapat lebih daripada satu faktor yang boleh menyebabakan kenaikan harga rumah.

“Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan kenaikan harga rumah adalah kos pembinaan, lokasi projek serta kemudahan sedia ada, kadar pinjaman bank, keselamatan serta peluang pekerjaan dan perniagaan di kawasan perumahan, kualiti kehidupan kawasan perumahan dan polisi kerajaan,” jelas Sim ketika dihubungi semalam.

SHEDA mengeluarkan kenyataan tersebut setelah Chong mendakwa beberapa pihak termasuk syarikat perumahan swasta yang berhubung kait dengan pihak kerajaan bertanggungjawab dengan kenaikan harga rumah secara mendadak di Sarawak.

“Sebagai contoh bagi faktor kos pembinaan, syarikat pembinaan mestilah mengambil kira kos barang binaan, upah buruh serta harga tanah yang dibeli yang kian melambung tinggi terutama pada masa sekarang.

“Di samping itu faktor lokasi projek turut mempengaruhi harga rumah jika sesebuah kawasan tersebut mempunyai kemudahan seperti hospital, pasar raya, sekolah serta berdekatan dengan pusat bandar sudah tentu harga rumah tersebut adalah lebih tinggi,” ujarnya.

Sim berkata, buat sementara waktu pihak kerajaan juga sedang mengenal pasti beberapa kawasan bagi mendirikan projek perumahan PR1MA yang merupakan rumah mampu milik.

Beliau turut menjelaskan, di sekitar Kuching masih terdapat rumah-rumah dengan harga yang berpatutan iaitu di kawasan Matang, Batu Kawa, Bau, Serian dan Kota Samarahan.