Sunday, December 15

BTS 2013 platform terbesar industri pembinaan

0

Platform kepada perancang, arkitek, jurutera, juruukur, pereka, pembina, pemaju, kontraktor dan orang awam

KUCHING: Building Trade Show (BTS) 2013, yang menjadi platform terbesar berkaitan industri pembinaan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka akan diadakan pada 22 hingga 24 Mac 2013.

BTS, acara dua tahun sekali anjuran Absolute Cool Event itu diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

Pameran itu juga menjadi platform kepada profesional dalam industri seperti perancang, arkitek, jurutera, juruukur, pereka, pembina, pemaju, kontraktor dan orang awam.

Pengurus Acara BTS 2013 Sinyin Lim berkata, daripada 105 ruang pameran yang disediakan, 96 telah ditempah oleh 80 pembekal dagangan binaan dengan hanya kurang 10 ruang masih tinggal.

“Sejak pelancaran pertamanya pada tahun 2003, kami menerima respons memberangsangkan daripada peserta dan pengunjung.

“BTS ini disokong Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), acara terakhir kami pada tahun 2011 menarik lebih daripada 10,000 pelawat dengan lebih 105 ruang pameran,” katanya pada majlis taklimat bersama pempamer berhubung BTS 2013 di BCCK di sini, semalam.

Menurutnya BTS akan mempamerkan pelbagai produk terdiri daripada produk bangunan seperti struktur (konkrit, keluli, kayu, kaca dan jubin), produk elektrik, produk mekanikal, hiasan rumah dan sebagainya.

“Tahun ini kami dengan bangganya menerima dua peserta daripada syarikat jentera berat yang turut mempamerkan produk-produk mereka kepada pengunjung yang hadir,” kata Lim.

Sementara itu pengerusi pengelola BTS 2013 Stephen Liew berkata, BTS 2013 dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 22 Mac.

“Selain itu kami mengadakan pelbagai aktiviti lain sempena BTS termasuk kejohanan golf sehari sebelum acara iaitu 21 Mac.

“Kami juga menjemput semua peserta untuk menyertai majlis makan malam yang diadakan pada 22 Mac,” kata Liew.

Bagi pengeluar, pembekal dan peniaga yang mahu menyertai BTS, sila hubungi Lim di talian 082-459370 atau 014-9903335 atau e-mel [email protected]