Kuasa penghulu terhad

0

Beri pengesahan terhadap penduduk bawah bidang kuasa

SIBU: Orang ramai yang ingin mendapatkan pengesahan daripada ketua kaum seperti penghulu, perlu sedar yang penghulu mempunyai bidang kuasa yang terhad dan tidak boleh membuat pengesahan sewenang-wenangnya.

Penghulu Enyang Menchol berkata, orang ramai tidak boleh menyalahkan penghulu jika mereka tidak dapat mengesahkan atau memberi sokongan sekiranya diminta berbuat demikian, lebih-lebih lagi jika pemohon bukan penduduk di bawah bidang kuasa penghulu terbabit.

“Terbaharu, ramai yang meminta pengesahan daripada penghulu bagi mengesahkan mereka buta huruf sekali gus membolehkan mereka memohon lesen bagi orang buta huruf di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.

Sebagai seorang ketua kaum katanya, beliau tidak dapat mengesahkan permohonan pihak terbabit sekiranya mereka bukan penduduk di kawasan di bawah bidang kuasanya atau mereka yang datang dari luar daerah ini.

“Jika mereka berasal dari kawasan di bawah bidang kuasa saya, saya boleh berhubung terus dengan tuai rumah terbabit bagi mendapatkan pengesahan untuk memastikan pemohon benar-benar tidak pernah pergi ke sekolah atau buta huruf.

“Kami boleh mengesahkan permohonan mereka yang datang dari luar sekiranya mereka sudah empat atau lima kali menduduki ujian bertulis atau ujian komputer di JPJ.

“Ini bukti menunjukkan mereka benar-benar buta huruf, namun jika tidak pernah menduduki ujian, kita tidak boleh membuat pengesahan,” katanya.

Difahamkan, ramai yang bekerja serta datang dari luar bandar Sibu meminta pengesahan dan sokongan daripada ketua kaum termasuk penghulu bagi mengesahkan mereka buta huruf, bagi membolehkan mereka menduduki ujian bertulis atau komputer khusus untuk orang buta huruf di JPJ.

Pengesahan dikatakan boleh dibuat oleh wakil rakyat, guru besar dan ketua masyarakat.

Menurut Enyang lagi, ramai juga pemohon ini berusia di bawah 50 tahun, sekali gus pada usia sedemikian adalah tidak logik mereka ini tidak pernah pergi ke sekolah.

“Malah ada yang menggunakan pihak ketiga di mana mereka meminta rakan-rakan membawa borang permohonan untuk disahkan oleh penghulu.

“Jangan salahkan penghulu jika tidak mahu mengesahkan atau menyokong permohonan tersebut,” jelasnya sambil menambah pihak berkenaan harus mendapatkan pengesahan daripada tuai rumah atau penghulu di kawasan masing-masing.

Enyang memberitahu, semua ketua kaum di sini sedaya upaya membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk, bergantung kepada sesuatu permohonan atau kes tersebut.

“Bagi yang datang dari luar bandar Sibu serta bekerja di sini, jangan menyalahkan penghulu jika tidak dapat membantu lebih-lebih lagi dalam soal pengambilan anak angkat, lesen bagi orang buta huruf, hak penjagaan kanak-kanak, pengesahan status perkahwinan dan tanah NCR,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan, penghulu tidak boleh membuat pengesahan sewenang-wenangnya jika tidak mempunyai maklumat atau bukti yang mencukupi atau apabila berasa ragu berhubung sesuatu permohonan itu.

Enyang juga menambah, sebaik-baiknya permohonan itu terlebih dahulu disahkan oleh tuai rumah atau ketua kampung sebelum disahkan oleh penghulu sebagai sokongan tambahan.