MoU kembangkan kemajuan sektor pertanian

0

Bina kepakaran penyelidikan, kenal pasti projek, rakan berkepakaran sama, praktikal pelajar UMT di S’wak 

KUCHING: Satu langkah produktif diambil kerajaan negeri dalam mengembangkan kemajuan sektor pertanian negeri selain membantu menggerakkan pembangunan ekonomi negara, apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian Sarawak dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Upacara berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, dengan disempurnakan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Lai Kui Fong yang mewakili kerajaan negeri dan Naib Canselor UMT Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo yang mewakili UMT sambil disaksikan Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran.

Menurut Lai, pelbagai perancangan telah dibuat bagi sepanjang tempoh lima tahun perjanjian itu, yang melibatkan kepentingan kedua-dua pihak.

Jelas beliau, objektifnya ialah untuk membina kepakaran penyelidikan, mengenal pasti projek dan rakan yang mempunyai bidang kepakaran sama serta menempatkan pelajar UMT dalam bidang berkaitan di Jabatan Pertanian Sarawak.

“Antaranya ialah memberi peluang kepada kakitangan di Jabatan Pertanian Sarawak untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana di UMT.

“Tahun 2014 juga akan membuka peluang kepada pelajar tahun akhir UMT untuk memohon latihan industri di Jabatan Pertanian Sarawak terutama pelajar yang berasal dari Sarawak,” katanya.

Sementara, Ibrahim berkata UMT turut merancang untuk membuat pertukaran di kalangan kakitangan Fakulti Sains dan Teknologi UMT bagi memberi peluang kepada mereka menimba pengalaman dengan kelengkapan yang lebih berteknologi tinggi.

Selain itu, katanya ahli akademik yang ada di UMT terutama dalam bidang pertanian juga akan diberi peluang untuk berkongsi maklumat dengan jabatan sepanjang tempoh perjanjian dimeterai.

“Perjanjian persefahaman ini merupakan langkah pertama antara kedua-dua pihak untuk mengeratkan hubungan serta berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian.

“Saya yakin, dengan terjalinnya hubungan erat ini maka kita akan dapat mengembangkan lagi kerjasama dalam bidang lain misalnya aspek berkaitan teknologi agro, sains makanan dan industri akuakultur,” katanya.

Langkah memeterai kolaborasi tersebut bermula daripada kerjasama terdahulu antara Profesor Dr Norhayati Mohd Tahir dan Dr Alvin Chai Lian Kuet pada 2005.

Susulan itu, satu lawatan rasmi daripada Fakulti Sains dan Teknologi UMT ke makmal Pusat Penyelidikan Pertanian di Semenggok telah dilaksanakan bagi merancang aktiviti kerjasama yang boleh dijalankan bagi manfaat kedua-dua pihak.

Antara yang dipersetujui ialah program pertukaran penyelidik, staf sokongan penyelidikan dan siswazah untuk kepentingan bersama, penyeliaan bersama pelajar siswazah, penyediaan tempat kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, pertukaran dan perkongsian maklumat, menggalakkan penerbitan bersama serta perkara-perkara lain berkaitan penyelidikan.