Letih bukan alasan hambar

0

Pemain kurang persefahaman punca gagal Sarawak menang: Alberts

KUCHING: Ketua Jurulatih Robert Alberts mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak menggunakan alasan keletihan dan jadual ketat sebagai punca prestasi hambar.

Katanya, kebanyakan pemain pernah bersaing dalam Liga Super dan Liga Perdana sebelum ini dan mereka sudah sedia maklum mengenai jadual yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Isu keletihan tidak seharusnya timbul kerana pasukan lain juga melalui jadual yang sama namun mereka masih dapat mempamerkan aksi cemerlang,” katanya semalam.

“Tambahan lagi, rata-rata pemain sudah mempunyai pengalaman yang meluas dan mereka harus berhadapan dengan situasi sebegitu sepanjang kempen kejohanan.

“Justeru, saya tidak dapat menerima alasan keletihan menjadi punca skuad gagal mempamerkan aksi bertenaga dan melakar kemenangan.”

Menurut Alberts, beliau melihat kurang persefahaman dan komunikasi antara beberapa orang pemain masih menjadi punca Sarawak gagal mencipta kemenangan yang sepatutnya milik mereka.

Mengambil contoh, pertemuan menentang SPA FC tempoh hari, katanya, Sarawak memiliki deretan peluang yang gagal disudahkan kerana kurang persefahaman di jentera hadapan dan tengah.

Situasi sama melanda di barisan pertahanan hingga menjadi punca pasukan tuan rumah menjaringkan gol pendahuluan dalam perlawanan tersebut.

“Saya sering mengingatkan pemain agar sentiasa fokus dan bekerjasama antara satu sama lain,” tambah beliau sambil berharap pemain-pemainnya mengambil iktibar daripada perlawanan tersebut dan memperbaiki kelemahan yang masih ada.

Mengulas pertemuan menentang Pos Malaysia pada malam ini, Alberts sekali lagi menegaskan kepada anak-anak buahnya agar tidak memandang enteng keupayaan skuad itu.

Dibimbing oleh G Torairaju, skuad berstatus kelab itu pastinya mahu mencipta kejutan di laman lawan bagi memperbaiki kedudukan di carta liga.

Apa yang pasti, Sarawak akan turun tanpa kelibat kapten pasukan Shahrol Saperi yang mengalami kecederaan paha semasa pertembungan Isnin lepas.

Alberts juga sekali lagi meletakkan harapan di bahu ayam tambatannya Bobby Gonzales dan Ivan Babic untuk memastikan tiga mata penuh milik Sarawak.

Kudrat Joseph Kalang Tie dan Guy Bwele juga diperlukan oleh majikannya bagi membantu rakan sepasukan di barisan hadapan.

Sarawak berada di tangga kedua liga dengan tujuh mata setelah mengharungi tiga perlawanan.