Monday, December 6

Segera baik pulih sekolah jika terima dana k’jaan: Wee

0

KUCHING: Lembaga pengurusan sekolah-sekolah Cina di Sarawak diminta menyegerakan pelaksanaan projek baik pulih serta pembangunan di sekolah masing-masing sejurus menerima dana daripada kerajaan.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata, pe-nyaluran dana kepada sekolah-sekolah tersebut adalah untuk menambah baik infrastruktur serta keadaan bangunan sekolah, bukannya disimpan.

“Kita menasihatkan semua sekolah apabila menerima dana daripada kementerian, kalau dana di-salurkan, terus laksanakan projek. Itu sangat penting, ini (wang) bukan untuk simpanan.

“Saya difahamkan, ada sekolah disebabkan pelan lambat, projek lambat dilaksanakan. Sekiranya lambat, kementerian mesti dimaklumkan begitu juga dengan jadual baharu pelaksanaan projek berkenaan. Ini amat mustahak,” katanya ke-pada pemberita semalam.

Terdahulu beliau menghadiri sesi dialog bersama guru serta wakil lembaga pengurusan sekolah-        sekolah Cina dari bahagian Ku-ching, Samarahan, Sri Aman dan Betong.

Pada sesi berlangsung lebih tiga jam itu, pelbagai isu serta keper-luan dibangkitkan oleh wakil sekolah-sekolah yang hadir.

Mengenai sesi dialog itu, Wee berkata, kali ini permintaan dari-pada pihak sekolah lebih realistik dan mengikut kepentingan serta keperluan.

“Jadi, saya mahukan justifikasi, kenapa dan untuk apa jumlah (wang) diminta. Kementerian memberi tumpuan dan menyelesaikan ba-ngunan yang tidak selamat kerana aspek keselamatan pelajar serta guru keutamaan kita.

“Kalau bangunan disahkan tidak selamat, itu akan kita buat terus begitu juga dengan ancaman anai-anai kita akan bagi terus (dana). Kalau projek membaik pulih bangunan secara kritikal seperti bumbung sudah berusia 50 tahun, kena membaiki kekuda dan rasuk. Itu kita benarkan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, keutamaan juga akan diberi kepada sekolah di pedalaman yang serba kekurangan dari segi bilik darjah, asrama dan kuarters guru walaupun jumlah pelajarnya tidak ramai.

Beliau menambah, permintaan dana bagi tujuan menambah jumlah bilik darjah hanya akan ditunaikan sekiranya ia realistik dan dilihat perlu.

“Sebab itu, ada permintaan yang kita tolak. Ada sekolah yang hanya ada 300 murid tiba-tiba nak bina kapasiti bagi 1,000 (murid) lagi. Itu boleh dilakukan untuk 10 tahun akan datang. Sekarang kita pentingkan keperluan masa ini.

“Di Semenanjung Malaysia dan Sabah, kementerian juga menggunakan kriteria sama dalam menentukan jumlah dana disalurkan kepada sekolah-sekolah. Malahan Sarawak tidak pernah kurangnya peruntukan yang kita salurkan,” ujarnya.

Wee bagaimanapun berkata, buat masa ini beliau belum dapat mengesahkan jumlah peruntukan yang bakal disalurkan kepada sekolah Cina di seluruh Sarawak kerana sesi dialog masih berlangsung.