Sudah tiba masa untuk Sarawak

0

Kerajaan pusat patut beri perhatian bukan salahkan agensi pelancongan

MIRI: Selepas memperkenal dan membangunkan Sabah dengan jayanya dalam peta pelancongan dunia termasuk mewujudkan penerbangan secara terus ke negara-negara luar, sudah tiba masanya bagi kerajaan pusat beralih ke Sarawak pula.

Menteri Muda Komunikasi merangkap Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin yang mengakui industri pelancongan Sabah amat berjaya berkata, kini giliran Sarawak pula harus mendapat tumpuan khusus kerajaan pusat bagi membangun dan merancakkan pelancongan di negeri ini khususnya Miri.

“(Industri pelancongan) Sabah amat berjaya dan kini sudah tiba masanya bagi kementerian pusat memberi perhatian lebih kepada Sarawak.

“Pusat perlu menjayakan industri pelancongan di negeri ini sebagaimana Sabah, dengan mengadakan pelbagai promosi, memperkenalkan Sarawak di samping mewujudkan penerbangan secara terus dari Sarawak terutama Miri ke negara-negara asing,” katanya.

Lee yang juga bekas pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan Bahagian Miri berkata, Sarawak khususnya Miri memiliki banyak tarikan pelancongan dari darat hinggalah ke lautan yang menawarkan kegiatan menyelam, di samping pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

“Tambahan Miri hanya bersebelahan dengan Kota Kinabalu, Sabah dan kementerian mungkin boleh mencadangkan penerbangan terus dari Kota Kinabalu disambung ke Miri dan sebaliknya,” ujarnya.

Menurut Lee, semasa beliau masih menjadi salah seorang ahli Lembaga Pengarah Pelancongan Sarawak, beliau pernah beberapa kali menyuarakan cadangan penerbangan sambungan ke Miri, namun sehingga kini cadangan tersebut masih tidak ‘dilayan.’

Lee ketika ditemui Utusan Borneo di sini semalam turut membidas kenyataan ramai pihak yang asyik menyalahkan agensi pelancongan kerana dianggap tidak banyak membantu dan tidak tampil dengan produk yang menarik.

“Ia bukan salah agensi pelancongan. Mereka sudah berusaha keras dengan pelbagai idea untuk tampil dengan produk-produk atau pakej pelancongan yang menarik.

“Tetapi jika mereka tidak mendapat sokongan daripada penggiat industri ini sendiri termasuk kementerian berkaitan, maka usaha mereka adalah sia-sia sahaja kerana mereka tidak mampu melakukannya bersendirian.

“Agensi pelancongan semata-mata bergerak sendiri untuk mempromosikan negeri ini dan industri pelancongan Sarawak, tidak mencukupi,” tambahnya.

Sebaliknya, Lee berkata, semua pihak yang berkaitan seperti pengusaha bas pelancong, ‘homestay,’ hotel, lembaga pelancongan dan sebagainya termasuk kementerian harus terlibat sama terutama dalam mengadakan promosi.

“Sebagai contoh jika agensi pelancongan mahu tampil dengan pakej berbulan madu di sini, maka ia perlu mendapat sokongan dan kerjasama daripada pihak hotel, studio gambar, ‘homestay’ dan lain-lain.

“Tanpa kerjasama semua pihak berkaitan, sudah pasti pakej ini tidak berjalan seperti diharapkan malah boleh ‘berkubur’ kerana tiada sokongan,” katanya.

Lee ditemui semasa menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin di Miri Marriot Resort and Spa di sini, semalam.