PBT tulang belakang laksana pembangunan

0

Melaksanakan usaha pembangunan dan kemajuan kepada peringkat akar umbi, kata Jelaing

SARATOK: Pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan tulang belakang kerajaan dalam melaksanakan usaha pembangunan dan kemajuan kepada peringkat akar umbi.

Ini terutama dalam pelaksanaan misi pentadbiran negara yang mengamalkan konsep sistem pemerintahan tiga peringkat yang diamalkan oleh Malaysia.

Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat berkata PBT adalah agensi barisan hadapan yang berhadapan dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Justeru, katanya setiap anggotanya harus berpengetahuan, kompeten dan komited dalam menjalankan tugas seharian agar perkhidmatan disampaikan kepada masyarakat cepat, efisien, berkualiti dan mesra pelanggan.

“Dewasa ini keadaan dan situasi pekerjaan sudah jauh berubah dan kebanyakannya menuntut ahli-ahli PBT lebih berperanan dan bertanggungjawab kerana mereka terdedah dengan persekitaran yang lebih kompleks lagi mencabar.

“Namun, perkhidmatan tersebut tidak akan berkesan dan dilaksanakan dengan menyeluruh sekiranya pihak peringkat akar umbi tidak mampu bekerjasama dengan pihak PBT.

“Jadi dalam erti kata lain, dalam setiap perkhidmatan yang disampaikan harus mendapat impak atau kesan positif kepada kedua-dua belah pihak,” katanya pada Majlis Merarau Tahunan anjuran Majlis Daerah Saratok (MDS) di Dewan Masyarakat Saratok, semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 500 orang tetamu hadir yang merupakan ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua jabatan kerajaan, ahli-ahli perniagaan yang berdaftar dengan MDS serta beberapa jemputan kehormat yang lain.

Upacara penyampaian sijil dan anugerah penghargaan kepada kakitangan MDS dan ahli-ahli MDS serta ketua masyarakat cemerlang dalam melaksanakan tugas, turut diadakan pada majlis itu.

Jelaing yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata, prestasi kerja yang disampaikan oleh PBT kepada pihak peringkat akar umbi adalah mencerminkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam Sarawak.

“Peranan yang dimainkan oleh PBT adalah menyeluruh iaitu meliputi semua seperti keselamatan, kebersihan, kesihatan, penyampaian maklumat serta banyak lagi sumbangan lain.

“Maka, kita berharap pihak PBT akan terus melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya dan mempunyai hubungan dua hala dengan masyarakat yang membanggakan,” jelas Jelaing.

Sementara itu, Setiausaha MDS Ignatius Jinnie Bunyau berkata objektif majlis tersebut adalah untuk mengeratkan hubungan PBT dengan masyarakat.

“Majlis ini dianjurkan bertujuan menghargai sumbangan dan kerjasama diberikan kepada pihak MDS selama ini, sehingga mampu menjadikan MDS mendapat penganugerahan membanggakan daripada kerajaan.

“Kita berharap suasana seperti ini dapat dikekalkan dan diperbaiki segala kelemahan lalu agar perkhidmatan disampaikan memberi manfaat kepada semua pihak,” kata Ignatius.

Pada majlis tersebut, Jelaing turut mengagihkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada pihak MDS bagi menampung majlis tersebut.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Datu Dr Penguang Manggil.