MySportsFest 2013 sempena Tahun Industri Sukan Asean: Shabery

0

PUTRAJAYA: Bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Industri Sukan Asean 2013, Malaysia akan menganjurkan MySportsFest 2013 bermula 29 hingga 31 Mac depan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya MySportsFest 2013 akan menampilkan lebih 100 aktiviti antaranya pertandingan, pameran, karnival, klinik sukan dan pencarian bakat baru serta aktiviti bersama personaliti sukan dan selebriti tanah air.

Program selama tiga hari itu akan akan diadakan di pusat membeli-belah Space U8, di Bukit Jelutong, Shah Alam.

“Selain menya tuka n masyarakat dan membudayakan amalan hidup sihat, program itu turut memberi peluang kepada pengusaha produk dan syarikat berkaitan sukan di Malaysia dan Asia Tenggara untuk menjana pendapatan melalui pengiklanan dan jenama yang dipamerkan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran MySportsFest 2013 di sini hari ini, beliau berkata Brunei juga telah melancarkan program seumpama ini tahun lepas.

Sehubungan itu beliau berharap negara Asean lain akan turut berbuat demikian untuk mempromosikan sukan sebagai sebuah industri seperti yang telah dipersetujui sebelum ini supaya menjadikan 2013 sebagai tahun industri sukan Asean.

Dalam pada itu sekretariat MySportsFest 2013 masih membuka peluang kepada mana-mana agensi atau syarikat yang berminat untuk bersama-sama menjayakan festival sukan ini sebagai penaja. — Bernama