11 buah sekolah terima BKAP dan Komputer Riba 1Malaysia

0

SARIKEI: Sebanyak 11 Sekolah Kebangsaan (SK) daripada Parlimen Tanjung Manis menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan (BKAP) RM100 dan Komputer Riba 1Malaysia, semalam.

Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman berkata, kemudahan yang disampaikan semalam adalah satu usaha kerajaan melahirkan generasi berkualiti pada masa depan.

“Langkah mengagihkan Komputer Riba 1Malaysia kepada murid Tahun Dua dan  Tahun Tiga pada hari ini adalah usaha terbaik dan bertepatan dengan perumpamaan masyarakat kita iaitu jika hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

“Bagi bantuan BKAP pula, saya berharap setiap nilai dalam peruntukan yang disalurkan itu mampu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, khususnya untuk kepentingan murid sendiri.

“Jangan sesekali menggunakan wang tersebut untuk berbelanja bagi perkara yang tidak berfaedah seperti untuk berjudi, minum arak, beli rokok atau sebarang perkara yang tidak berfaedah,” kata Norah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian BKAP RM100 dan Komputer Riba 1Malaysia bagi sekolah-sekolah di Parlimen Tanjung Manis, semalam.

Majlis berkenaan berlangsung di Dewan SK Sarikei dan dihadiri kira-kira 150 orang yang terdiri daripada murid, guru dan ibu bapa.

Menurut Norah lagi, pihak kepimpinan negara berharap setiap pengagihan yang  disalurkan selama ini akan mampu memberi suntikan semangat kepada semua pihak yang berkaitan.

Sementara itu Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sarikei Dagang Bongsu dalam ucapan alu-aluannya berkata, selama ini pihak pemimpin tempatan telah memainkan banyak peranan dalam memastikan pencapaian yang memberangsangkan kepada seluruh warga pendidik di daerah ini.

“Kami berharap usaha dan hubungan dua hala yang baik seperti ini mampu diteruskan pada masa depan demi generasi yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara,” jelas Dagang.