500 warga SK Abang Aing sertai perarakan Maulidur Rasul

0

SRI AMAN: Seramai 500 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Aing, Sri Aman telah menyertai perarakan Maulidur Rasul yang bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ peringkat sekolah berkenaan di sini semalam.

Perarakan yang bermula seawal jam 7 pagi dan berakhir jam 10 pagi bermula dari tapak perhimpunan dengan mengelilingi Kampung Hilir Sri Aman itu melibatkan murid, guru, guru KAFA serta exco Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Sebelum perarakan bermula, terlebih dahulu sesi Ceramah Penghayatan Maulidur Rasul disampaikan oleh Ustaz Aizat Che Ramli daripada SK Nanga Klassen, Sri Aman.

Selesai sahaja sesi ceramah, bacaan selawat dan perarakan bermula iaitu dari tapak perhimpunan ke Kampung Hilir.

Turut diadakan, kuiz terbuka kepada murid-murid sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, perarakan berkenaan dibahagikan kepada lima  kumpulan mengikut rumah sukan antaranya ialah Kumpulan Imam Bukhari (kuning), Kumpulan Imam An-Nasa’i (ungu), Kumpulan Imam Muslim (hijau), Kumpulan Imam Abi Daud (biru) dan Kumpulan Imam At-Tirmizi (merah).

Sementara itu, turut diadakan pertandingan sepanduk di kalangan murid sekolah berkenaan di mana tempat pertama disandang Kumpulan Imam Abi Daud, tempat kedua disandang Kumpulan Imam Bukhari manakala tempat ketiga disandang Kumpulan Imam An-Nasa’i.

Tempat keempat dan kelima masing-masing disandang Kumpulan Imam At-Tirmizi (merah) dan Kumpulan Imam Muslim (hijau).

Turut bersama-sama menyertai perarakan berkenaan, Guru Besar SK Abang Aing Wan Ismail Wan Chula,” katanya.