Hayati perjuangan Rasulullah SAW, kata Fatimah

0

DALAT: Sambutan Maulidur Rasul seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari keputeraan baginda Rasulullah SAW, sebaliknya sebagai usaha menyedar serta mengingatkan kembali umat Islam kepada perjuangannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat Datuk Fatimah Abdullah berkata, bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’, ia harus menjadi contoh kepada umat Islam.

“Pendekatan wasatiyyah atau amalan kesederhanaan Nabi SAW dalam pelbagai urusan seharusnya kita jadikan sebagai pedoman.

“Ini khususnya dalam membina kesatuan ummah di persada ibu pertiwi tercinta yang berbilang kaum,” katanya berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Dalat di pekarangan Masjid Al-Muslihin di sini, semalam.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga itu, umat Islam perlu terlebih dahulu mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama Islam.

“Hanya dengan bersatu padu, umat Islam akan menjadi lebih kuat dan berupaya menangani segala cabaran semasa,” katanya.

“Sebaliknya jika umat Islam terus berbalah dan bersengketa, maka umat Islam akan menjadi lemah dan porak-peranda,” tegas beliau.

Perarakan sambutan Maulidur Rasul di masjid itu disertai kontinjen terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, sekolah dan ahli jawatankuasa kampung.

Sempena sambutan, pelbagai program diadakan  selain perarakan iaitu termasuk zikir selain penyampaian hadiah pertandingan sepanduk.