Longgokan sampah dibakar hampir cetus masalah

0

Anggota bomba memadamkan api di tapak bangunan kosong berhampiran Jalan Tun Fuad Stephen pada tengah hari kelmarin.

KOTA KINABALU: Tindakan pantas seorang penjaga parkir kenderaan menghubungi bomba berjaya mengelak daripada berlaku kebakaran di tapak bangunan kosong berhadapan pusat beli belah Suria Sabah, di Jalan Tun Fuad Stephen kelmarin.

Penjaga parkir yang hanya dikenali sebagai CK, 30an, ketika ditemui berkata dalam kejadian terbabit, dia melihat seorang lelaki dipercayai kurang siuman telah membakar beberapa kepingan papan lapis dan longgokan sampah berhampiran tiang bangunan usang itu kira-kira jam 12.30 tengah hari berkenaan.

“Setelah menyalakan api dan membakar longgokan sampah yang turut berisi beberapa kepingan papan itu, lelaki terbabit kemudiannya bertindak meninggalkan kawasan itu.

“Bimbang kejadian buruk berlaku, saya kemudiannya menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan kerana khuatir api itu akan merebak ke kawasan lain,” katanya yang bekerja sebagai penjaga parkir berhampiran sebuah intitusi perbankan di situ.

Jurucakap pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi menjelaskan pihak jabatan telah menerima panggilan pada jam 12.41 tengah hari dan sebuah jentera telah digegaskan ke lokasi kejadian untuk operasi memadamkan kebakaran.

Anggota bomba yang tiba di lokasi kemudiannya berjaya memadamkan api dan berada di tempat kejadian untuk melakukan pemantauan.