Pihak berkuasa perlu teliti laksana tugas

0

KUCHING: Pihak berkuasa di negeri ini harus teliti dalam melaksanakan tugas bagi mengelak kesulitan kepada orang ramai.

Naib Pengerusi PKR Negeri merangkap ADUN Batu Lintang See Chee How berkata, beliau kecewa dengan kes baru-baru ini yang berlaku di Mukah, di mana dua beradik yang merupakan aktivis Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) telah dizalimi kerana penyalahgunaan peruntukan undang-undang.

Katanya, Tambi Geram, 60, dan Matek Maxi Geram, 40, telah ditahan atas tuduhan mengugut.

“Pada Sabtu lalu, dua beradik ini terjumpa aktiviti pembalakan berhampiran rumah panjang mereka iaitu Rumah Segudan di Kuala Balingian dan bertanya para pekerja di sana bagi memastikan sama ada mereka melakukan pembalakan tanpa permit.

“Jadi, mereka merampas kunci jengkaut di situ dan membawanya ke balai polis untuk laporan tetapi pada keesokan harinya, kerja tersebut diteruskan.

“Kedua-dua mereka kemudiannya pergi semula ke tapak pembalakan untuk mengarahkan para pekerja di situ sama ada menghentikan pembalakan atau membayar pampasan kerana mengganggu ketenteraman dan alam semula jadi.

“Namun demikian, mereka akhirnya ditangkap oleh polis dan dihadapkan kepada majistret di Mukah pada Isnin lalu,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

See menambah, Pegawai Tadbir Negeri (SAO) bertindak sebagai majistret dan mengarahkan reman selama tujuh hari kepada dua beradik tersebut bermula Isnin.

Pada Rabu, Tambi dan Matek dihadapkan semula kepada majistret tersebut dan didakwa di bawah Seksyen 506, Kanun Keseksaan kerana mengugut dan diminta membayar ikat jamin tunai RM3,000 seorang.

“Apa yang SAO ini lakukan adalah salah dan menyalahi undang-undang.

“Di bawah undang-undang, mereka boleh ditahan hanya empat hari dan ikat jamin tunai serta-merta tidak boleh diperintahkan seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 403 Kanun Tatacara Jenayah,” dakwanya.