Tuesday, November 12

Kerajaan akan terus membantu setiap sekolah, kata Chin

0

MIRI: Kerajaan akan terus membantu setiap sekolah di negeri ini untuk menyelenggara dan membaik pulih infrastruktur bagi menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selesa kepada pelajar dan guru.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata sekolah merupakan institusi paling penting dalam melahirkan pemimpin negara, justeru perlu dilengkapi dengan infrastruktur yang baik.

“Kerajaan komited untuk membantu setiap sekolah bagi memantapkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya pada majlis penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut, Senadin di sini semalam.

Justeru ujar Chin, sekolah yang memerlukan bantuan perlu mengemukakan permohonan secara bertulis kepada beliau atau pihak yang relevan untuk pertimbangan selanjutnya.

“Ini merupakan pertama kali saya meninjau keadaan sekolah ini sejak ia dibuka sembilan tahun lalu.

“Daripada apa yang saya lihat, sekolah ini memang memerlukan penyelenggaraan,” katanya.

Dalam hal ini, Chin yang juga Ahli Parlimen Miri mahu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menghantar surat rasmi untuk diserahkan kepada kementerian yang berkaitan.

Mengenai bantuan RM100, Chin berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa terutama yang mempunyai anak ramai dan berpendapatan rendah.

Beliau turut menggesa semua pihak tanpa mengira pegangan parti agar bekerjasama dan memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti sistem pendidikan di negara ini.

Hadir sama Setiausaha Politiknya Datuk Sebastian Ting dan Pengetua SMK Pujut Sumarni Said.