Kolej perubatan swasta perlu perbanyak program lepasan ijazah

0

KUALA LUMPUR: Kolej perubatan swasta perlu meningkatkan jumlah program perubatan lepasan ijazah agar setara dengan jumlah siswazah perubatan yang semakin meningkat di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

Beliau berkata langkah ini supaya lebih ramai pakar dihasilkan bagi membantu meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Katanya kebanyakan universiti yang menawarkan Pengajian Perubatan Lepasan Ijazah adalah universiti awam.

“Kolej pengajian perubatan swasta yang berminat melibatkan diri dalam program ini perlu mempunyai kos kemasukan dan kemahiran tetapi kos itu mestilah adil kepada penyedia latihan dan pelatih,” katanya ketika merasmikan seminar mengenai Pendidikan Perubatan Lepasan Ijazah di Malaysia, di sini semalam.

Ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (IPTS) Jabatan Pengajian Tinggi Datin Dr Siti Hamisah Tapsir. Turut hadir Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr S R Manalan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Khaled berkata meskipun program lepasan ijazah bukan klinikal telah pun dikendalikan oleh kolej perubatan swasta, kini sudah tiba masanya program lepasan ijazah klinikal pula diwujudkan. — Bernama