Program memanah dapat sambutan

0

PEMBANGUNAN: Ting (belakang tiga kiri) bersama jurulatih memanah dan pelajar SK Sri Mawar pada sesi demonstrasi dan mencari bakat menerusi Program Pembangunan Memanah Belia di Miri.

MIRI: Program Pembangunan Memanah Belia di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar di sekitar Miri sejak pembukaan tirainya awal Januari ini.

Penyelia Program, David Ting memberitahu sekitar 300 orang pelajar setiap sekolah menyertai program itu sekali gus untuk mencari bakat di kalangan mereka.

Sehingga kini, terdapat sepuluh buah sekolah termasuk empat buah sekolah rendah telah dipilih untuk program pembangunan memanah tersebut.

Antara sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph, SMK St. Columba, SMK Chung Hua Miri, SMK Jalan Riam, SMK Baru, Sekolah Menengah Pei Min, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Chung Hua Miri, SJK (C) Chung Hua Krokop, SJK (C) Chung San dan Sekolah Rendah Sri Mawar.

Ting yang juga Setiausaha Persatuan Memanah Miri turut mempelawa sekolah-sekolah lain yang berminat untuk mengambil bahagian pada program tersebut.

“Peluang masih terbuka untuk pihak sekolah-sekolah menggalakkan para pelajarnya untuk mengambil bahagian dalam program ini.

“Justeru, ini juga adalah peluang pelajar untuk mengasah bakat mereka dan membolehkan mereka layak  dipilih mewakili Miri, Sarawak bahkan negara pada suatu masa kelak,” katanya.

Ting menjelaskan, pihaknya telah memilih 50 pelajar sekolah menengah manakala 30 pelajar sekolah rendah untuk mengikuti latihan intensif yang akan diadakan pada Februari depan untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSSS) di Sarikei dan seterusnya Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Kuala Lumpur pada Mac nanti.

Justeru, beliau berharap agar peserta yang terpilih mengambil peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin dan menjadikannya sebagai landasan untuk menjadi pemanah terbaik.

“Pada Sukan Malaysia (SUKMA) lalu, Sarawak memperolehi kejayaan membanggakan dengan membawa pulang tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa. Kesemua pingat berkenaan merupakan atlet pemanah dari Miri,” katanya.

Menurut Ting, bagi sesi latihan intensif yang diadakan tiga kali seminggu, setiap pelajar akan dikenakan bayaran RM120 untuk tempoh sebulan dan akan diberikan latihan antara tiga hingga empat jam dengan tiada had jumlah anak panah.

Manakala bagi bayaran biasa, yuran RM8 dikenakan untuk 20 anak panah.

Pihak sekolah atau pelajar yang berminat menyertai program tersebut boleh menghubungi Ting di talian 016-8790555, Ricky Yee (012-8389668) atau Pusat Memanah King Archery Merdeka Mall (085-419500), untuk keterangan lanjut.