Monday, October 21

28,000 pelajar di Kubang Pasu terima bantuan persekolahan minggu ini

0

JITRA: Lebih 28,000 pelajar sekolah menengah dan rendah daerah Kubang Pasu dijangka menerima bantuan awal persekolahan RM100 sumbangan kerajaan pusat selewat-lewatnya Khamis ini.

Naib ketua UMNO Kubang Pasu Zulfitri Yaacob berkata setakat ini 40 daripada 57 sekolah menengah dan rendah di daerah itu telah menyerahkan bantuan terbabit kepada ibu bapa dan waris pelajar.

“Kita mahu menyelesaikan pemberian wang bantuan persekolahan ini sebelum Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mula dibayar pada 2 Feb,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan itu kepada 390 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di sini, semalam.

Ketika berucap sebelum itu, beliau berkata bantuan awal persekolahan adalah istimewa kerana kerajaan memberinya kepada semua pelajar sebagai galakan kepada mereka untuk belajar lebih tekun.

“Bantuan awal ini sesuai pada masanya kerana ekonomi negara dalam keadaan stabil manakala infrastruktur asas yang penting untuk memacu pembangunan negara telah disiapkan,” katanya.

Sementara itu seorang ibu tunggal, Nafsiah Jaafar, 46, terharu kerana bantuan untuk dua anaknya yang belajar di tahun lima dan enam SK Malau dapat menyelesaikan masalahnya dalam menyediakan keperluan persekolahan.

“Kakak bekerja sebagai operator sebuah kilang di Bandar Darulaman bagi menyara dua anak yang bersekolah. Syukurlah dengan bantuan ini dapat juga membeli pakaian dan beg sekolah baru untuk kedua-dua anak saya,” katanya.

Tukang kebun SK (C) Keat Hwa Kampung Perak, Alor Setar, Hashim Mohd Zain, 59, berkata beliau akan menyimpan wang untuk untuk dua anaknya bagi kegunaan pada masa depan.

Pekerja Am Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Arau, Salim Sharif, 48, pula berkata beliau juga akan menyimpan wang itu untuk pelajaran anaknya. — Bernama