Belum ada tangkapan suspek kes bunuh peniaga

0

Suriayati (kiri) ditenangkan oleh ahli keluarganya yang turut hadir di perkarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Tawau.

TAWAU: Pihak polis mengesahkan belum ada sebarang tangkapan suspek dibuat setakat ini berhubung penemuan mayat seorang peniaga ikan masin yang ditemui mati di dalam keretanya di kebun kelapa sawit di Kg Kuala Bibang, Semporna pada awal pagi Ahad lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah, siasatan lanjut berhubung kes kematian mangsa, Hj Mansor Sideh, 52, yang disyaki dibunuh dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Buat masa ini, kita belum menerima laporan penuh hasil daripada bedah-siasat yang dijalankan dan jika ada perkembangan baru kita akan maklumkan kepada pihak media,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Sebelum ini, mangsa yang merupakan pemborong ikan masin ternama di Tawau ditemui mati di dalam kenderaannya jenis Isuzu Dmax berwarna biru dalam keadaan tragis dan terdapat kesan tetakan di bahagian tengkuk, muka dan lengan kanannya.

Utusan Borneo yang berkesempatan menemui ahli keluarga mangsa di perkarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Tawau di sini dimaklumkan bahawa arwah meninggalkan seorang balu, tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki yang masih bersekolah.

Mengulas mengenai suaminya, balu mangsa, Suriayati Rashidi @Hjh Murni, 43, berkata dia dan arwah sudah menjalankan perniagaan ikan masin selama hampir 21 tahun dan merupakan pemborong utama bahan makanan itu di Pasar Tanjung, di sini.

Bagaimanapun, semenjak kira-kira dua bulan lepas mereka mencuba pula perniagaan baru iaitu rumpai laut dan sering berulang-alik ke Semporna bagi mendapatkan bekalan menerusi individu-individu yang mereka kenali.

“Kebiasaannya, kami pergi ke Semporna bersama-sama, namun pada Jumaat lepas arwah pergi bersendirian kerana dikhabarkan rumpai laut yang kami borong telah disediakan oleh kenalan kami (rakan pembekal),” katanya.

Suriayati berkata, memandangkan suaminya tidak pulang ke rumah sehari selepas keluar ke Semporna, beliau berasa bimbang terhadap keselamatannya lebih-lebih lagi arwah dikatakan tidak pernah keluar bermalam jika membeli barang perniagaan di daerah itu.

Beliau dan ahli keluarganya juga cuba mencari mangsa pada hari keesokannya di Semporna dengan menemui beberapa kenalan perniagaan mereka, namun gagal hingga membawa mereka membuat laporan polis di IPD Semporna.

“Selepas membuat laporan polis kira-kira jam 9 malam, pihak polis kemudiannya menghubungi kami sekitar jam 3 pagi keesokannya dan meminta saya hadir ke hospital untuk pengecaman mayat arwah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli keluarga mangsa difahamkan telahpun menuntut mayat mangsa di Hospital Tawau selepas bedah-siasat dijalankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4 Jalan Apas.