Ekonomi negara suram jika pakatan menang PRU13

0

Pembangkang janji batal projek yang menjana pendapatan 

JOHOR BAHARU: Ekonomi negara berhadapan masa depan yang gelap jika projek berdaya maju dan meningkatkan pendapatan negara seperti Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) dibatalkan sebagaimana dijanji pembangkang sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pembatalan projek-projek yang akan menjana pendapatan negara atas kepentingan politik itu akan merosakkan kedudukan kewangan dan menyebabkan ekonomi negara merudum.

Beliau berkata tindakan membatalkan projek-projek ekonomi berimpak tinggi itu juga akan menjejaskan keyakinan pelabur tempatan dan asing, menyebabkan mereka meninggalkan Malaysia bagi mencari destinasi pelaburan yang baharu.

“Saya rasa masa depan ekonomi negara akan menjadi amat suram jika pembangkang memenangi pilihan raya umum kerana jika mengikut manifesto mereka, memang inilah intipati mereka iaitu apa sahaja projek yang membawa hasil kepada negara seperti RAPID, akan mereka batalkan.”

“Adalah jelas jika pembangkang mengambil alih negara, mereka akan merosakkan ekonomi negara,” kata beliau yang juga merupakan anggota Parlimen Pulai kepada Bernama dalam satu temu ramah di sini.

Pemimpin pembangkang telah menyatakan mereka akan membatalkan projek RAPID sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang, selain turut mahu membatalkan projek pembinaan kilang nadir bumi Lynas di Kuantan.

Nur Jazlan berkata tindakan pembangkang menyekat usaha kerajaan untuk menambah pendapatannya menerusi perlaksanaan projek-projek ekonomi yang strategik seperti RAPID akan hanya memberikan implikasi yang negatif kepada ekonomi negara.

Syarikat minyak dan gas negara, Petronas telahpun menyatakan kesediaannya untuk melabur RM60 bilion bagi melaksanakan projek RAPID, yang dijangka beroperasi pada 2016.

Projek RAPID merupakan sebahagian daripada projek yang dinamakan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC), yang bakal menjadikan Malaysia sebagai hab minyak dan gas rantau ini.

Selain Petronas, syarikat lain seperti Dialog Berhad dan Royal Vopak juga sedang membina Terminal Penyimpanan Minyak Bebas Laut Dalam Pengerang bernilai RM5 bilion yang merupakan sebahagian daripada PIPC.

Dialog Berhad dan Royal Vopak juga merancang untuk melabur RM4 bilion untuk membina Terminal Gas Cecair Asli di PIPC itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berada di Davos bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini juga mengumumkan perancangan syarikat antarabangsa, Itochu Steel Industry dan Evonik AG untuk melabur berbilion ringgit di projek RAPID.

Menurut Nur Jazlan lagi, kedudukan kewangan negara juga akan menjadi bertambah buruk jika cadangan pembangkang yang mahu melupuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilaksanakan.

Perlupusan hutang peminjam PTPTN katanya, akan hanya meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan menjejaskan kedudukan kewangan negara secara keseluruhannya.

“Sekiranya mereka (pembangkang) tidak mahu hasil kerajaan naik dan pada masa yang sama hendak menambah perbelanjaan (dengan perlupusan hutang PTPTN), maka akhirnya kerajaan akan menanggung beban yang berat yang merosakkan ekonomi negara,” katanya. — Bernama