BN pegang prinsip hanya calon daripada parti komponen akan bertanding PRU13, bukan sebaliknya
KUCHING: Hanya calon parti komponen Barisan Nasional (BN) akan dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Perkara ini ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi BN Pusat Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media semalam selepas Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam di salah sebuah hotel terkemuka di sini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, BN berpegang kepada prinsip hanya calon daripada parti komponen BN akan bertanding dan bukan sebaliknya.
“Setakat ini BN masih berpegang kepada prinsip bahawa calon-calon adalah datang daripada parti-parti yang ada dalam komponen BN.
“Ini kerana mereka yang bertanding yang kita tahu pada hari ini adalah atas tiket BN daripada parti-parti komponen dan bukan calon terus BN,” katanya.
Menyentuh mengenai krisis-krisis dalaman yang dihadapi oleh parti-parti komponen BN Negeri, Muhyiddin berkata kesemua parti komponen BN Negeri telah mengambil usaha untuk menyelesaikan masalah mereka dan menunjukkan kesungguhan dalam mencari penyelesaian.
“Puak-puak yang terlibat faham bahawa bila kita berhadapan dengan PRU kita mahu semua bersatu dalam sebuah pasukan.
“Tidak ada perbezaan atau perbalahan yang boleh membawa kesan kerana ia akan menjejaskan imej parti dan parti itu mewakili BN,” katanya.
Muhyiddin pada sidang media itu semalam turut yakin BN Sarawak masih berupaya mengekalkan kedudukan BN di negeri ini termasuk Parlimen Sibu yang telah dirampas oleh pembangkang pada Pilihan Raya Kecil 2010.
“Berdasarkan apa yang dilaporkan kepada saya oleh Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan ketua-ketua parti komponen yang lain, PRS, SPDP, SUPP dan PBB, saya amat yakin bahawa BN Sarawak masih berupaya mengekalkan kedudukan.
“Mana-mana kerusi yang akan kita tandingi di peringkat Parlimen saya boleh katakan sebahagian besar masih dapat menang, mungkin majoriti dan diharap lebih tinggi kerana sudah ada perubahan dari segi sikap pengundi,” ujarnya yakin.
Walaupun ada gerakan kempen daripada parti lawan iaitu pembangkang untuk menembusi kawasan di negeri ini, tetapi terbukti pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Ke-11, mereka tidak dapat menembusi kesemua kerusi.
“Namun saya telah meminta supaya pimpinan BN Sarawak terus memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terpilih untuk mengukuhkan kedudukan kita,” katanya.
Terdahulu dalam sesi dialog bersama penjawat awam, Muhyiddin tetap mengingatkan pimpinan BN agar tidak terlalu yakin pada PRU13 sebaliknya perlu berhati-hati kerana ada ruang yang perlu dibaiki agar tidak wujud dakwaan bahawa BN bercakap kosong.