K’jaan akan pertimbang pemberian bantuan kepada balu Kanang

0

KUCHING: Kerajaan akan mempertimbangkan pemberian bantuan sewajarnya kepada balu mendiang Temenggung Datuk Kanang Langkau, Datin Brawang Changgot.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada lawatan kerja selama tiga hari di Sarawak bermula kelmarin, mengunjungi rumah mendiang di Kampung Sungai Apong di sini semalam dan sempat berbual dengan Brawang untuk bertanyakan bantuan yang diperlukan.

Brawang ketika ditemui pemberita semalam meluahkan rasa gembira dan berterima kasih atas kunjungan Muhyiddin ke rumahnya.

“Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata tentang perasaan saya apabila menerima kunjungan daripada beliau (Muhyiddin), kami sekeluarga mengucapkan berbanyak terima kasih atas kunjungan ini,” katanya.

Dia memberitahu antara bantuan yang diperlukan termasuk bayaran pencen, elaun, rumah baharu dan ansuran kereta selain keperluan persekolahan anak bongsunya, Harrison Ketit, 16, yang kini bersekolah di Sekolah Vokasional Batu Lintang.

Dalam kunjungan kira-kira 20 minit itu, Muhyiddin turut berbual dengan Brawang dan anak-anaknya untuk bertanyakan khabar dan masalah yang dihadapi sebaik sahaja tiba di rumah berkenaan pada jam 8 pagi.

Ketika ditanya bantuan apa yang akan diberikan, Brawang memberitahu bahawa dia belum tahu kerana ia terpulang kepada kerajaan untuk memberinya.

“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan kami sekeluarga bersyukur kerana beliau (Muhyiddin) sanggup datang menjenguk kami sekeluarga,” tambahnya.

Hadir sama pada kunjungan ke rumah balu mendiang Kanang semalam, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing dan Pengerusi Biro Penerangan Barisan Nasional (BN) Datuk Ahmad Maslan.

Turut hadir Panglima Satu Divisyen Mejar Jeneral Datuk

Mohd Zaki Mokhtar, Panglima Tiga Briged Infrantri Brigedier General Datuk Redzuan Baharuddin dan tetamu kehormat lain.