Tuesday, November 19

Lelaki Filipina ditahan di Ranau disiasat mengikut Akta Pasport

0

KOTA KINABALU: Penahanan seorang lelaki warganegara Filipina di daerah Ranau baru-baru ini tidak mempunyai sebarang agenda tuntutan atau tekanan daripada pihak tertentu, tegas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Menurut beliau, tangkapan terbabit dilakukan setelah suspek terbabit memiliki identiti meragukan dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (1) (d) Akta Pasport 1966.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tangkapan terbabit langsung tidak kena mengena dengan tuntutan daripada mana-mana pihak tertentu memandangkan beliau difahamkan suspek mempunyai kesalahan lampau di negara asal.

“Dakwaan pihak tertentu mengenai polis menahan suspek adalah ekoran ditekan, adalah tidak benar dan dakwaan itu sama sekali boleh menjejaskan kredibiliti kita dalam melaksanakan tugas.

“Setakat ini, saya telah periksa dengan Bukit Aman dan tiada sebarang permintaan rasmi daripada pihak negara Filipina berhubung suspek.

“Suspek hanya ditahan berikutan kita dapati dia mempunyai identiti meragukan dan masih ditahan mengikut Seksyen 12 (1) (d) Akta Pasport 1966,” katanya sambil menambah, penahanan suspek adalah berlandaskan undang-undang sedia ada.

Terdahulu, suspek yang berusia 40an berkenaan difahamkan kini diburu pihak negara Filipina ekoran terlibat dengan penipuan skim melibatkan kerugian berbilion mata wang peso.

Bagaimanapun, Hamza berkata pihak polis Sabah terbuka untuk membuka kertas siasatan sekiranya menerima permintaan rasmi daripada mana-mana pihak termasuklah dari negara Filipina.

“Kalau ada permintaan rasmi, kita akan berkerjasama. Sebab kita mahu memastikan keharmonian antara kedua negara terus terjalin,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Hamza berkata polis masih mengenal pasti motif penculikan melibatkan dua rakyat negara ini dalam tragedi di ladang kelapa sawit Felda Sahabat, Lahad Datu penghujung November tahun lepas.

Menurutnya, kerjasama antara polis dengan pihak berkuasa Filipina masih berterusan dalam memastikan kes itu diselesaikan secepat mungkin.

“Setakat ini kedua-dua mangsa yang telah diculik masih hidup.

“Bagaimanapun, motif penculikan atau permintaan wang tebusan daripada penculik belum lagi diketahui,” katanya.