Medan Niaga Satok medan niaga terbesar di M’sia

0

KUCHING: Medan Niaga Satok adalah medan niaga terbesar di Malaysia dan meru-pakan projek simbolik yang menjadi kebanggaan dan kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri Sarawak.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, projek terbaharu yang bernilai RM46.6 juta itu menyediakan sebanyak 2,241 ruang berniaga berkonsepkan pasar terbuka yang merangkumi zon basah, kering, benteng, pasar minggu dan borong.

“Kementerian Pertanian dan Indusrtri Asas Tani telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menguruskan Medan Niaga Satok serta memantau aktiviti-aktiviti perniagaan dan pembangunan usahawan di kawasan sekitarnya,” jelasnya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Medan Niaga Satok semalam.

Perasmian Medan Niaga Satok disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, menteri-menteri kabinet dan para ADUN.

Menurut Noh cetusan idea pembinaan medan niaga telah bermula daripada Timbalan Perdana Menteri pada 2007 semasa beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang menunjukkan keprihatinannya terhadap program pembangunan usahawan tani.

Beliau turut menyeru kepada agensi-agensi berkaitan untuk menggunakan kemudahan-kemudahan di Medan Niaga Satok bagi menjalankan aktiviti sokongan seperti kursus keusahawanan, pusat khidmat nasihat dan kemahiran pemprosesan makanan sejajar dengan pelan transformasi kerajaan melalui dasar Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Di samping itu Noh juga bercadang menjemput para usahawan dari negeri lain untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Medan Niaga Satok untuk belajar mengenai cara-cara pengurusan kompleks medan niaga di samping mempromosikannya kepada pengunjung dari luar negeri.

Sementara itu Menteri Perumahan merangkap Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menghargai keprihatinan Timbalan Perdana Menteri kerana meluluskan tapak pembinaan Medan Niaga Satok.

“Medan Niaga Satok telah dibina pada kedudukan yang strategik bagi memberi ruang kepada para peniaga dan petani untuk bergiat serta menyumbang kepada ekonomi negara khasnya dalam perniagaan runcit,” ujarnya dalam ucapan aluannya.

Di samping itu Abang Johari berkata kemajuan berterusan yang dicapai dan dinikmati rakyat negeri Sarawak adalah disebabkan keprihatinan para pemimpin kerajaan BN di samping menyeru sokongan secara berterusan terhadap kerajaan sedia ada.

Beliau juga berkata kerajaan BN Negeri berazam akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangi kerusi-kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.