Tuesday, November 12

NIOSH sasar 500 syarikat diiktiraf menjelang 2015

0

KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyasarkan sebanyak 500 syarikat menerima sijil pengiktirafan bagi Sistem Peng-urusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MS 1722 dan OHSAS 18001) menjelang 2015.

Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye berkata sehingga kini, kira-kira 200 syarikat mendapat sijil itu, termasuk dua dari Sabah iaitu Lahad Datu Edible Oil dan TSH Wilma.

“Persijilan itu dikelolakan oleh NIOSH Certification Sdn Bhd (NCSB) iaitu badan pensijilan yang diiktiraf dan merupakan anak syarikat milik penuh NIOSH di bawah Kementerian Sumber Manusia Malaysia,” katanya pada sidang  akhbar sempena Majlis Apresiasi Media 2013 di sini semalam.

Beliau berkata NCSB akan menawarkan latihan sistem pengurusan seperti program kesedaran, kursus Ketua Juruaudit dan Audit Dalaman.

“Bagi tempoh 2010 hingga 2012, sebanyak 829 kursus berjaya dianjurkan NIOSH Sabah membabitkan penyertaan seramai 15,244 peserta dari seluruh negeri,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap, Lee memuji peranan dan sumbangan pengamal media kerana berjaya mempromosi budaya kerja selamat serta sihat dalam semua industri di negeri ini. — Bernama