Suspek rompak wang RM10,000 diberkas

0

TAWAU: Pihak polis mengesahkan telah menahan seorang suspek berumur 34 tahun yang disyaki terlibat dalam kes rompakan wang tunai bernilai RM10,000 yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 petang pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata suspek lelaki terbabit kini ditahan reman sehingga Khamis dan dipercayai melakukan rompakan itu bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.

“Kita juga sedang menjejak rakan mangsa yang disyaki berusia dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah, siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, pada hari kejadian mangsa yang berumur 30 tahun dikatakan baru sahaja mengeluarkan wang tunai sebanyak RM10,000 dari Public Bank tanpa menyedari yang gerak-gerinya sedang diperhatikan oleh suspek terlibat.

Suspek terbabit terus mengekori mangsa selepas lelaki itu mengeluarkan duitnya di bank dan singgah di sebuah klinik yang terletak di Jalan Wing Lok untuk mengambil anak dan isterinya yang mendapatkan rawatan.

Mangsa terus keluar dari klinik terbabit sebaik terdengar alat penggera di keretanya berbunyi dan terperanjat apabila mendapati suspek sedang berlari sambil membawa sampul surat miliknya.

Melihatkan tindakan lelaki itu, mangsa terus beredar dari klinik terbabit untuk mengejar suspek berkenaan sehinggalah dia berjaya menahan suspek hasil bantuan orang awam yang turut berada di lokasi kejadian.