Waspada 68 jalan maut: Acryl

0

Polis Trafik Negeri kenal pasti 11 lagi laluan baharu kerap kemalangan

MIRI: Sebanyak 68 laluan jalan raya di seluruh negeri ini telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan hingga ada yang menggelarnya sebagai jalan maut.

Daripada jumlah tersebut, polis trafik negeri telah mengenal pasti 11 lagi laluan baharu yang kerap berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut yang kebanyakannya di Saratok.

Polis Trafik Negeri mendedahkan 11 laluan baharu yang kerap kemalangan itu ialah KM31-KM38 Jalan Sarikei-Sri Aman; KM40-KM45 Jalan Sarikei-Sri Aman; KM48-KM53 Jalan Sarikei-Sri Aman; KM73-KM80 Jalan Sarikei-Sri Aman di Saratok, KM20-KM29 Jalan Mukah-Selangau di Mukah, KM1-KM2 Jalan Tatau-Bintulu di Tatau; KM9-KM12 Jalan Bintulu-Tatau di Bintulu, KM39-KM42 Jalan Sibu-Bintulu di Sibu, KM20-KM29 Jalan Sri Aman-Sarikei; KM32-KM35 Jalan Sri Aman/Kuching di Sri Aman dan KM15, Batu 21 Jalan Mambong di Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata sebanyak 450 anggota polis termasuk Unit Polis Peronda (MPV) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan ditempatkan di semua lokasi jalan maut tersebut dan mengadakan sekatan dan rondaan di seluruh negeri sepanjang Ops Selamat, sempena perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

“Sebanyak 68 jalan termasuk laluan baharu yang dikenal pasti kerap kemalangan berlaku itu membabitkan 50 jalan persekutuan dan 18 jalan negeri,” katanya sambil mengingatkan pengguna jalan raya supaya merancang terlebih dahulu perjalanan mereka bagi mengelak mereka tergesa-gesa untuk mengejar masa hingga melepasi had laju ditetapkan.

“Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada musim perayaan kerana sikap yang tergesa-gesa, mahu cepat hingga melebihi had laju dibenarkan.

“Kemalangan seperti inilah yang sering kali meragut nyawa kalau tidak kecederaan parah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGA Miri di sini, semalam.

Terdahulu Acryl dan timbalannya, SAC Datuk Law Hong Soon menghadiri taklimat Ops Selamat II sempena Tahun Baharu Cina 2013 dan Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Ibu Pejabat PGA itu semalam.

Ops Selamat II yang dilancarkan serentak di seluruh negeri bermula 3 hingga 17 Februari ini, akan memfokuskan kepada penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya.

“Kaedah pelaksanaan operasi ini juga adalah secara rondaan dan statik di jalan raya dengan cara menempatkan khemah atau kanopi dan bergerak ke lokasi-lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan maut.

“Operasi ini juga memberi fokus kepada kempen rumah selamat iaitu selamat kepada rumah-rumah yang ditinggalkan sepanjang tempoh perayaan ini,” tambahnya.

Sehubungan itu Acryl menasihati orang ramai yang balik bercuti ke kampung halaman sempena cuti perayaan dan sambutan Tahun Baharu Cina ini, supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan, agar pihak polis dapat melakukan rondaan di kawasan rumah mereka, bagi mencegah berlakunya jenayah kecurian atau pecah rumah.

“Apa yang perlu adalah perubahan sikap orang ramai iaitu bersesuaian dengan konsep Ops Selamat II/2013 iaitu ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’ yang kita jalankan ada setiap kali musim perayaan,” katanya.

Hadir sama pada sidang media tersebut semalam ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Zulkifli Hassan, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam (Ketua Trafik Negeri) Superintenden Mohd Najib Jusoh dan Pegawai Turus Gerakan, Timbalan Superintenden Chung Aik Peng.