Tuesday, November 12

Polis Tawau pantau kegiatan judi tanpa lesen

0

TAWAU: Polis sentiasa memantau kegiatan judi tanpa lesen termasuk perjudian mesin slot di daerah ini bagi memastikan kegiatan itu tidak berleluasa, kata Ketua Polis Tawau ACP Awang Besar Dullah.

Katanya pada tahun ini sahaja pihaknya sudah melakukan tiga serbuan dan tiga tangkapan melibatkan rampasan 69 unit mesin judi, manakala sepanjang tahun lepas 79 serbuan dilakukan dengan 39 tangkapan selain merampas 311 mesin judi.

“Kita tidak menafikan wujudnya kegiatan perjudian mesin judi di Tawau secara senyap-senyap (haram). Walaupun dilakukan secara curi-curi, pihak polissentiasa memantau dan membuat serbuan sekiranya premis yang dikenal pasti terlibat dengan perjudian haram.

“Saya minta kepada orang ramai yang tahu lokasi-lokasi kegiatan mesin perjudian haram ini supaya memaklumkan kepada polis atau terus kepada saya supaya tindakan segera dapat diambil. Maklumat hendaklah lengkap dengan alamat lokasi (kegiatan judi) itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kalabakan datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang mendakwa kegiatan premis judi tanpa lesen berleluasa di Tawau dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuat siasatan.

Mengulas lanjut, Awang Besar berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kegiatan judi tanpa lesen boleh menghubungi talian 089- 752222 atau terus kepada beliau di talian 019-8706251.

Menurut Awang Besar setakat ini hanya enam sahaja lesen perjudian mesin slot dikeluarkan di Tawau dan setiap lesen berkenaan cuma dibenar memiliki 10 mesin.

“Saya juga ingin mengingatkan pemilik premis supaya jangan membenarkan premis mereka dijadikan premis perjudian haram kerana mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 4 (B) (a) Akta Rumah Judi Terbuka yang jika sabit kesalahan bolehdidenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya. — Bernama