Wanita didenda RM700 kerana ugut penyelia kedai

0

PETALING JAYA: Seorang wanita didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah mengaku bersalah mengugut dengan mengacu sebilah gunting kepada seorang penyelia, tujuh hari lepas.

Suraya Zullkafli, 32, yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara 25 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa mengugut Iskandar Muhammed Nasir, 28, di kedai telefon The Hello Station (M) Sdn Bhd, Tingkat 1, Paradigm Mall, pada jam 8.30 malam, 26 Janlepas.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian tertuduh yang juga bekas pekerja di kedai itu telah mengacu sebilah gunting dan cuba menikam Iskandar yang bekerja sebagai penyelia di situ.

Tertuduh juga mengugut untuk melakukan perkara yang tidak baik terhadap Iskandar dan keluarganya.

Pendakwaan di hadapan Majistret Nazri Omran itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya.

Terdahulu, peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Suraya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana dia tidaklagi bekerja. — Bernama