PGA Sabah ambil pendekatan berjaga-jaga

0

KHALED menyerahkan tongkat kuasa Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau kepada Fuad sambil diperhatikan oleh Marzuki.

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah mengambil pendekatan berjaga-jaga bagi mengelak sebarang ancaman kegiatan jenayah yang dikhuatiri berlaku ekoran perdamaian antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di Selatan Filipina.

Menurut Komander Briged Sabah PGA, SAC Datuk Ahmad Marzuki Mohd Saad, pihaknya telah menjalankan operasi memantau perkembangan di sekitar persempadanan negeri ini semenjak Oktober lepas.

“Sebenarnya, ancaman ini lebih kepada ancaman jenayah bukannya ancaman yang menggugat keselamatan dalam negeri ini,” katanya sambil mendedahkan pemantauan itu dibuat ekoran pemilihan jawatan-jawatan utama seperti gabenor dan mayor di wilayan itu bakal dijalankan.

Marzuki berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya Majlis Serah/Terima Tugas Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau daripada Superitendan Khaled Che Lah kepada penggantinya Superitendan Ahmad Fuad Othman di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan ekstremis di wilayah itu akan menjalankan kegiatan jenayah seperti menculik ataupun merompak di persempadanan Sabah-Filipina untuk mengumpul dana bagi merebut jawatan-jawatan penting di sana.

Beliau berkata, walaupun kumpulan Abu Sayyaf sudah tiada, namun pihaknya memantau perkembangan kumpulan lain yang dikhuatiri mungkin akan menjalankan kegiatan jenayah khususnya melibatkan kegiatan penculikan dan rompakan di persempadanan.

“Kita tahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya menjalankan peranannya sebagai orang tengah bagi mewujudkan perjanjian damai di Selatan Filipina (melibatkan kerajaan Filipina dan MILF).

“Dalam masa sama, tentu ada pihak yang tidak memberikan sokongan terhadap perkembangan ini (cuba mengambil kesempatan), sebab itu kita mengambil pendekatan berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kemungkinan,” katanya.

Menurutnya, PGA Sabah akan terus bekerjasama dengan pihak penguatkuasa yang lain demi memastikan tidak ada sebarang kegiatan jenayah yang boleh mengganggu-gugat keselamatan penduduk pulau dan warga nelayan di negeri ini.