Siasatan kes kematian gajah pygmy dijangka selesai

0

KOTA KINABALU: Siasatan mengenai kes kematian 14 ekor gajah pygmy Borneo di Hutan Simpan Gunung Rara tempoh hari, kini diberikan tumpuan secara menyeluruh dan dijangka akan selesai dalam sedikit masa lagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata setakat ini siasatan dari segenap aspek sedang giat dilaksanakan namun beliau masih melihat laporan penuh daripada pihaknya di daerah Kinabatangan.

Siasatan yang dimaksudkan adalah termasuk mengambil sampel baja di lokasi kejadian, sampel racun, serta keterangan daripada penduduk dan para peladang di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, proses siasatan itu lebih menjuruskan kepada siasatan jenayah iaitu mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan khianat kepada binatang dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

“Saya telah mengarahkan kes ini diberikan tumpuan utama dan siasatan kes adalah menjurus kepada siasatan jenayah iaitu mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, saya masih menanti akan laporan penuh daripada pihak polis di Kinabatangan namun kita percaya ia akan diselesaikan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes kematian 14 ekor gajah pygmy Borneo dalam satu sidang media bersempena pelancaran Ops Selamat II di Suria Sabah kelmarin.

Sementara itu, Hamza menjelaskan bahawa pihaknya juga sedang menanti laporan kimia yang dijangka akan memakan sedikit masa.

“Sekiranya siasatan itu menunjukkan terdapat perbuatan khianat, maka kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat untuk diseret ke muka pengadilan.

“Setakat ini, kita memberikan fokus secara menyeluruh kepada siasatan kes,” katanya.