Tujuh warga Nigeria ditahan salah guna pas pelajar

0

KUALA LUMPUR: Taktik sekumpulan warga Nigeria menyalahgunakan pas pelajar untuk melakukan aktiviti keagamaan berjaya dihidu pihak berkuasa apabila Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menahan tujuh orang, termasuk seorang paderi di Taman Connaught, Cheras, di sini semalam.

Dalam pemeriksaan mengejut yang dilakukan 17 pegawai dan anggota imigresen pada jam 12.30 tengah hari, tujuh lelaki berusia antara 27 dan 38 tahun ditahan bersama 30 yang lain termasuk dua warga tempatan ketika hadir mendengar ceramah paderi berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Cawangan Wilayah Persekutuan James Musa Singa berkata, tindakan paderi warga Nigeria itu menyalahi peruntukan undang-undang kerana warganegara asing tidak dibenarkan sama sekali menjalankan aktiviti keagamaan tanpa kebenaran Kementerian Dalam Negeri.

Beliau memberitahu sidang akhbar paderi itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosialnya.

“Enam lagi lelaki Nigeria itu pula melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai permit yang sah,” katanya.

James Musa berkata ketujuh-tujuh lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan sekiranya didapati bersalah, pas pelajar mereka akan dibatalkan dan kesemua mereka akan dihantar pulang.

Katanya siasatan mendapati rumah ibadat itu disewakan oleh warga tempatan kepada warga Nigeria itu untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

Ini, katanya melanggar undang-undang negara yang memperuntukkan setiap warganegara asing yang ingin melakukan aktiviti keagamaan wajib memiliki pas lawatan profesional.

Beliau berkata tujuh pelajar yang menuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara itu dipercayai menjalankan aktiviti keagamaan itu sejak 2011.

“Hasil maklumat orang awam kita melakukan pemeriksaan ke atas gereja tersebut yang didapati ia beroperasi secara tidak sah dan tidak berdaftar dengan mana-mana pertubuhan (di negara ini),” katanya.

James Musa berkata pemeriksaan itu adalah yang pertama dilakukan Jabatan Imigresen membabitkan pelajar warganegara asing yang menyalahgunakan pas lawatan untuk menjalankan aktiviti keagamaan. — Bernama