Kanser sumbang 11.2 peratus kematian pada 2011

0

KOTA KINABALU: Kanser adalah penyebab kematian keempat terbesar yang berlaku di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara dan pada tahun 2011 ia menyumbang sebanyak 11.2 peratus dari keseluruhan kematian yang berlaku.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata berdasarkan jumlah kes kanser baru pada tahun 2008 yang dilaporkan kepada Registri Kanser Kebangsaan, terdapat lima jenis kanser paling cenderung terjadi dalam kalangan lelaki di negara ini.

“Antaranya adalah kanser paru-paru (15.8%), kolorektal (15.8%), nasofarink (9.4%), limfoma (7.2%) dan prostat (6.2%).

“Sementara itu dalam kalangan wanita pula, penyakit terlibat ialah kanser payudara (32.3%) diikuti dengan kanser kolorektal (10.4%), servik (8.5%), paru-paru (5.7%) dan ovari (5.4%),” katanya pada majlis sempena Hari Kanser Sedunia baru-baru ini.

Rosnah berkata, walaupun jumlah pesakit kanser di negara ini lebih rendah berbanding penyakit-penyakit kronik yang lain seperti diabetes dan kardiovaskular, namun beban kewangan serta psikososial yang ditanggung oleh pesakit, keluarga dan masyarakat adalah jauh lebih besar.

Menurutnya, kebanyakan kejadian dan kematian akibat kanser sebenarnya boleh dielakkan dengan pengurangan faktor risiko, pengesanan awal dan rawatan segera.

“Kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang amat ditakuti oleh orang ramai. Mengikut statistik dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser menyumbang sebanyak 13 peratus (7.4 juta) dari keseluruhan kematian di dunia pada tahun 2008.

“Kematian akibat kanser dijangka akan terus meningkat di mana anggaran 12 juta orang akan mati akibat kanser pada tahun 2030,” katanya.

Katanya, kadar kejadian penyakit kanser meningkat dengan pertambahan usia, seperti negara-negara maju atau membangun yang lain.

Rosnah yang juga Ketua Puteri Umno berkata, Malaysia menghampiri peralihan epidemiologi, yang mana penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan gaya hidup seperti kardiovaskular dan kanser telah meningkat.

“Kanser boleh berlaku kepada setiap individu tanpa mengira usia dan jantina, sama ada miskin atau kaya serta memberi beban kewangan dan psikososial yang besar kepada pesakit, keluarga dan masyarakat.

“Lebih daripada 30 peratus kanser boleh dicegah dengan mengubah atau mengelakkan faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan kanser.

“Faktor risiko utama terhadap kejadian kanser adalah dikaitkan dengan gaya hidup iaitu amalan merokok, tidak aktif secara fizikal, mempunyai berat badan berlebihan atau obes, kurang pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan amalan pengambilan alkohol,” katanya.

Selain itu katanya, dari faktor risiko yang dikaitkan dengan gaya hidup, jangkitan oleh beberapa jenis virus seperti Human Papiloma Virus (HPV) dan virus Hepatitis B juga boleh menyebabkan kanser.

Beliau berkata, jangkitan HPV adalah faktor risiko utama kanser servik dan jangkitan virus Hepatitis B (HBV) adalah antara faktor yang menyebabkan kanser hati.

“Kementerian Kesihatan menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam mengawal kanser sama ada agensi kerajaan, swasta, NGO dan orang ramai sama-sama memainkan peranan dalam mengurangkan beban kanser di negara ini dengan meningkatkan pengetahuan mengenai kanser, mencegah serta mengawal kejadian serta kematian akibat kanser,” katanya.