Kes denggi membimbangkan

0

Dua kematian dicatat iaitu di Kuching, Bintulu setakat bulan pertama tahun ini

KUCHING: Kes denggi di Sarawak semakin membimbangkan ekoran dua kematian dicatatkan masing-masing di Kuching dan Bintulu setakat bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan berkata, bila-ngan kematian itu amat menduka-citakan memandangkan sepanjang tahun lepas hanya satu kematian dilaporkan.

“Setakat bulan Januari tahun ini, dua kematian akibat denggi dicatat-kan di Sarawak.

“Ia amat membimbangkan kerana pada bulan pertama sudah ada dua kematian manakala sepanjang tahun lepas hanya satu kematian,” katanya pada sidang media semalam.

Menurutnya, tujuh lokasi di ne-geri ini turut diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi merangkumi dua masing-masing di Kuching dan Bintulu manakala satu di Sibu, Limbang serta Lawas.

Dr Zulkifli memberitahu, secara keseluruhannya sebanyak 219 kes denggi dilaporkan sehingga 30 Ja-nuari tahun ini berbanding tempoh sama 2012.

“Terdapat peningkatan 237 peratus atau 154 kes.

“Daripada 219 kes, sebanyak 46.1 peratus (101 kes) di luar bandar ma-nakala 53.9 peratus (118 kes) di bandar,” ujarnya.

Beliau menambah, Jabatan Kesihatan dan Unit Kawalan Vektor Majlis Tempatan menjalankan tindakan kawalan bersesuaian untuk kes serta wabak yang dilaporkan.

“Orang ramai juga sepatutnya terlibat dengan pelan kawalan denggi intensif yang merangkumi kempen promosi kesihatan yang agresif, gotong-royong untuk mengurangkan pembiakan dan operasi penyemburan asap (fogging),” jelasnya.

Kompaun RM500 boleh dikenakan terhadap pihak yang membiak nyamuk aedes di premis makanan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datu Dr Penguang Manggil berkata, kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) turut mencatat peningkatan dengan 723 kes dilaporkan tahun ini berbanding 287 kes pada 2012.

“Keadaan ini menyebabkan Sekolah Kebangsaan Nanga Ensiring di daerah Julau diarah tutup manakala Tadika Sinar Pelangi (Sarikei) ditutup secara sukarela,” kata Dr Penguang.

Meskipun tiada kematian akibat HFMD dilaporkan setakat ini, beliau menjelaskan, sebanyak 90 pesakit dimasukkan ke hospital.

Bahagian yang mencatat kes terbanyak merangkumi Miri dengan 173, Kuching (125), Sarikei (81) dan Samarahan (73).

Manakala daerah yang menunjukkan trend meningkat ialah Samarahan, Simunjan, Serian, Saratok, Sarikei, Julau, Dalat, Sibu, Kapit dan Marudi.

Bagi Influenza A H1N1, terdapat peningkatan kes positif di negeri ini untuk tempoh tiga minggu pertama tahun ini, kata Dr Penguang.

“Sehingga 29 Januari, 12 kes disahkan berbanding 12 kes sepanjang tahun lepas.

“Daripada jumlah ini, empat pesakit dimasukkan ke hospital sebelum ini dan tiada kematian dilaporkan,” tambahnya.